PERLAWANAN Piala Asia 2023 antara Harimau Malaya dan Jordan sememangnya sudah tidak dapat lagi dinantikan penyokong negara yang mahu melihat kemampuan skuad kebangsaan dalam pertandingan terbabit.
Meskipun memahami jurang kualiti antara kedua-dua pasukan, sorakan bersemangat masih diberikan memandangkan ia merupakan kali pertama negara layak ke pentas Asia secara merit selepas 44 tahun.
Bagaimanapun, di sebalik keterujaan itu, sebahagian penyokong mendapati cabaran besar menanti skuad kendalian Kim Pan-gon apabila aksi tersebut akan diadili petugas dari Emiriah Arab Bersatu, Mohammed Abdulla Hassan Mohamed.
BACA LAGI: RTM siarkan perlawanan Piala Asia tapi ramai risau cuma siaran tertunda
Berdasarkan maklumat terdahulu, pengadil berusia 45 tahun berkenaan mempunyai reputasi cukup cemerlang apabila pernah diberi tugasan getir ketika perlawanan akhir Piala AFC 2017.
Selain itu, Abdulla Hassan juga cukup berpengalaman dalam saingan Piala Asia apabila pernah bertugas pada edisi 2015 yang diadakan di Australia.
Aksi antara JDT dan Kawasaki Frontale November lalu diadili Abdulla Hassan. — Agensi
Jadi, rekod cemerlang itu meletakkan pengadil berkenaan sebagai calon terbaik dalam perlawanan tersebut dalam usaha Harimau Malaya membuat kejutan ke atas negara di kedudukan ke-87 dunia itu.
Namun, sekiranya ditanya penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT), mereka mempunyai satu pengalaman agak buruk dengan Abdulla Hassan yang pernah mengadili aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) antara skuad Harimau Selatan dan Kawasaki Frontale musim lalu.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Kawasaki Todoroki, Jepun itu, juara Liga Super tersebut mengalami kekalahan 0-5 yang sekali gus meranapkan impian mereka melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Meskipun tidak mencetuskan sebarang kontroversi, kehadirannya pasti digeruni sebahagian penyokong kerana dikhuatiri akan memberi impak kepada mental pemain.
Skuad kendalian Pan-gon akan berdepan Jordan dalam aksi penuh debaran di Stadium al-Janoub, Qatar pada awal pagi Selasa dengan ratusan penyokong negara difahamkan sudah tiba untuk memberi sorakan.
Mereka kemudiannya akan berdepan Bahrain dalam aksi yang berlangsung pada 20 Januari sebelum menutup saingan Kumpulan E berdepan Korea Selatan pada 25 Januari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram