SATU ketika dahulu, Danial Amier Norhisham pernah diangkat sebagai salah seorang pemain tengah tempatan terbaik, lebih-lebih lagi ketika dia masih mewakili Felda United.
Malah ketenangannya dalam membuat hantaran kepada rakan sepasukan menyaksikan reputasinya diangkat sehingga menjadi salah seorang watak penting buat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
BACA LAGI: 'Off season' bukan penghalang, Danial Amier 'gear up' andai jadi berhijrah ke Harimau Kumbang
Kecemerlangannya itu kemudiannya mendesak jaguh bola sepak tanah air, Johor Darul Ta'zim (JDT) mendapatkan khidmatnya dengan peluang berkenaan pastinya sukar ditolak.
Bagaimanapun, memasuki musim keempat Danial bersama skuad Harimau Selatan, namanya kian dilupakan berikutan kekurangan peluang yang diberikan kepadanya dalam skuad utama.
Danial kini berada dalam radar beberapa pasukan Liga Super. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Menurut rekod, kali terakhir anak jati Selangor itu beraksi dalam Liga Super adalah pada dua tahun lalu dengan ia merupakan satu-satunya penampilannya dalam pertandingan berkenaan.
Jadi, dalam usaha meletakkannya kembali sebagai salah seorang pemain tengah terbaik, Danial pastinya mahu mencari pasukan baharu yang dapat menawarkannya minit permainan lebih kerap.
Berdasarkan khabar angin, kelab Utara tanah air, Penang FC bersedia untuk menerima pemain berusia 26 tahun berkenaan dalam usaha menambah baik prestasi pasukan musim depan.
Namun, cabaran besar terpaksa dihadapi skuad Harimau Kumbang apabila laporan baharu di media sosial mengatakan Kuching City FC juga berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Dalam satu hantaran Malayantigerfans, pemain JDT itu berada dalam radar kelab Borneo terbabit dengan perkara itu masih berstatus khabar angin.
Kuching City menunjukkan peningkatan sepanjang berada di bawah kendalian Aidil Sharin.
Kehadiran Danial mampu menambah baik prestasi skuad The Cats selepas musim pertama mereka dalam Liga Super tidak memberikan pulangan terbaik apabila hanya berada di kedudukan ke-13.
Bagaimanapun, kehadiran Aidil Sharin Sahak sebagai seorang ketua jurulatih dapat menjadi tarikan dengan pengalamannya dalam arena bola sepak tanah air tidak boleh dipandang rendah.
Selain itu, sentuhan pengendali kelahiran Singapura berkenaan juga sudah dirasai setelah dia membawa Kuching City FC ke pentas akhir MFL Challenge Cup tahun lalu.
Ketika ini, skuad The Cats sudah membawa masuk seorang bek tengah, Rodney Calvin dengan mereka dikhabarkan bersedia membawa masuk beberapa nama-nama besar lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram