KEHADIRAN import berkualiti yang dapat menyesuaikan diri dengan pemain tempatan merupakan kunci utama di sebalik kebangkitan Terengganu FC beberapa tahun kebelakang ini.
Ia dapat disaksikan musim lalu apabila kebergantungan skuad Sang Penyu kepada penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut membuahkan hasil apabila mereka melangkah ke perlawanan akhir Piala FA.
Selain itu, kualiti pemain import dimiliki kelab Pantai Timur berkenaan pada 2022 juga berada di tahap berbeza sehingga membolehkan mereka yang dikendalikan Nafuzi Zain muncul naib juara Liga Super.
BACA LAGI: Fans mahu Terengganu masuk 'line', cantas usaha Selangor ikat Nazmi Faiz
Bagaimanapun, sekiranya hendak menceritakan impak seorang pemain luar negara terhadap Terengganu FC, tiada daripada mereka yang dapat mengatasi keterujaan ketika kehadiran bekas pemain Aston Villa, Christopher Herd.
Pemain yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selama lima musim itu pernah diumumkan sebagai rekrut baharu skuad Sang Penyu pada jendela perpindahan awal musim 2021.
Herd (kiri) bersama bekas pengendali skuad Sang Penyu, Nafuzi Zain (kanan). — Facebook/Terengganu FC
Berita akan kehadirannya mencetuskan fenomena kerana ia merupakan satu perkara mengejutkan apabila pasukan terbabit dapat membawa seorang pemain dengan pengalaman sepertinya.
Selain pernah beraksi buat Aston Villa, bek tengah lasak terbabit juga pernah beraksi sekitar Asia bersama gergasi bola sepak Thailand, Buriram United dan kelab India, Chennaiyin.
Tidak cukup dengan itu, Herd juga merupakan salah seorang pemain yang membantu Australia menjuarai Piala Asia buat kali pertama pada 2015, yang sekali gus menaikkan lagi reputasinya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Bagaimanapun, harapan untuk menyaksikannya menjadi watak utama skuad Sang Penyu tidak kesampaian apabila dia hanya merekodkan satu penampilan dalam Liga Super.
Kecederaan serius dialaminya membuatkannya terpaksa tersisih sehingga dua bulan sehingga mendesak kelab berkenaan menamatkan khidmatnya lebih awal.
Namun, kehadiran Herd berjaya meningkatkan reputasi Terengganu FC dan Liga Super yang membuktikan arena bola sepak tanah air mempunyai nilai tersendiri di luar negara.
Kini, pemain yang sudah berusia 34 tahun tersebut difahamkan sudah menamatkan kariernya dengan skuad Sang Penyu merupakan pasukan terakhir diwakili dalam kariernya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram