SEBELUM ini, timbul spekulasi melibatkan pembantu jurulatih Selangor FC, Ramon Marcote yang meninggalkan pasukan tersebut selepas tamat musim 2023.
Timbul pelbagai andaian mengatakan bekas pembantu kepada Tan Cheng Hoe itu meninggalkan Selangor kerana mendapatkan tawaran di sebuah kelab Cyprus iaitu Ethinkos Achnas.
Namun begitu, individu dari Sepanyol itu menjelaskan yang perkara tersebut adalah tidak benar sebaliknya Marcote belum menyertai mana-mana pasukan untuk musim baharu.
Penjelasan itu dibuat kerana sebelum ini tersebar cerita dalam kalangan penyokong Selangor mengatakan Marcote meninggalkan Gergasi Merah untuk kembali ke Ethnikos Achnas.
Sebuah tangkap layar tersebar menunjukkan Marcote sendiri mengemas kini laman Facebooknya dengan mengatakan dia sudah menyertai kelab tersebut.
BACA LAGI: Isu peribadi dorong Ramon Marcote tinggalkan Selangor, kini sah bersama kelab Cyprus
Marcote hanya bersama Selangor untuk semusim. — Agensi
"Saya ada perasan mengenai perkara itu tetapi sebenarnya ia adalah siaran lama, hampir dua tahun lepas dilakukan di profil Facebook saya.
"Tidak. Saya belum menyertai mana-mana pasukan lagi. Saya tidak menyertai Ethnikos Achnas," kata Marcote kepada Majoriti.
Melihat pemergian Marcote dari Selangor nyata mengundang hiba kepada penyokongnya. Hal ini kerana, semua tahu betapa serasinya kerjasama antara dia dengan Cheng Hoe sejak mereka bersama di Kedah Darul Aman FC.
Marcote menjelaskan yang pemergiannya daripada Selangor adalah secara baik dan tiada sebarang isu berbangkit.
"Saya tinggakan Selangor kerana kontrak saya dengan mereka telah tamat. Itu saja.
"Saya ucapkan selamat tinggal kepada mereka dengan penuh mesra. Saya berterima kasih kepada Selangor kerana mempercayai saya dan Selangor berterima kasih kepada saya atas dedikasi dan hasil kerja yang dihasilkan.
"Saya juga ingin berterima kasih kepada para penyokong yang bersama kami sepanjang musim. Mereka telah bersama kami baik di perlawanan di tempat sendiri atau pihak lawan.
"Mereka telah berikan kami semangat, kekuatan dan keterujaan kepada pasukan dalam masa sukar. Mereka juga berikan kami keyakinan yang kemenangan itu sentiasa boleh dicapai. Permainan ini tiada maknanya tanpa penyokong," jelas Marcote.
Kini telah pulang semula ke Sepanyol, Marcote mengatakan dia hanya mahu berehat sebelum menentukan langkah seterusnya dalam karier.
Ditanya mengenai potensi kembali ke Malaysia, Marcote menafikan peluang itu tetapi tidak menolak akan terus bekerja di Asia.
"Buat masa sekarang, saya akan berehat sehingga datang tawaran yang bersesuaian dengan saya. Sekarang ini adalah masa untuk saya menikmati masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Saya tidak terburu-buru untuk bekerja semula.
"Saya ada dihampiri oleh dua pasukan yang berpangkalan di Asia tetapi ia bukan datang daripada Malaysia. Namun begitu, kedua-dua pasukan tersebut tidak begitu sesuai dengan saya," ujar Marcote. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram