KEMERIAHAN sentiasa akan tiba apabila sesebuah kejohanan bola sepak antarabangsa diadakan. Bagi pemain yang terlibat, mereka pastinya teruja untuk mewakili negara mereka.
Namun begitu, sisi gelap kejohanan seumpama ini adalah sakitnya hati pemain apabila nama mereka yang pada mulanya dipanggil tetapi digugurkan pada saat akhir kerana pelbagai sebab.
Itulah yang berlaku kepada pemain Indonesia, Saddil Ramdani apabila namanya digugurkan pada saat-saat akhir sebelum Piala Asia 2023 bermula di Qatar.
Pemain sayap yang beraksi untuk Sabah FC di Liga Super itu digugurkan oleh pengendali skuad Garuda, Shin Tae-yong atas 'faktor teknikal' yang membuatkan dia terpaksa melupakan peluang berdepan Vietnam, Iraq dan Jepun dalam saingan kumpulan D.
Jelas sekali, pengendali dari Korea Selatan itu lebih tertarik untuk menggunakan pemain sayap lain seperti Egy Maulana Vikri dan Witan Sulaeman.
Berita pengguguran Saddil itu mendapat reaksi daripada penyokong-penyokong Sabah dengan ramai yang menyambut baik keputusan tersebut. Hal ini kerana, pemain sayap tersebut dapat kembali bersama skuad Badak untuk melakukan persiapan aksi Piala AFC.
Sabah akan bertemu wakil Australia, Macarthur FC di aksi separuh akhir zon Asean untuk merebut tempat di peringkat akhir.
"Baguslah tu, supaya dia ada banyak masa berlatih bersama Sabah menjelang pertemuan Macarthur pada Februari," kata penyokong bernama Hermanyl Rinus.
"Ada kebaikan juga, supaya (Saddil) tidak cedera dan dapat bermain untuk Sabah dengan lebih baik dan cergas," ujar Fred JN.
"Syukurlah tidak cedera boleh balik Sabah main Piala AFC nanti," komen Son JJ pula.
BACA LAGI: [VIDEO] Saddil selamba 'psiko' pemain Filipina selepas jaringkan gol penting buat Indonesia
Saddil digugurkan kerana faktor teknikal. — Agensi
"Saddil harus tetap bersama Sabah. Sebab Saddil satu-satunya pemain berkualiti membuatkan Sabah berkembang buat masa ini," ulas Royendunroy.
Keputusan Tae-yong menggugurkan nama Saddil nyata disambut baik penyokong Sabah. Akan tetapi, masih terdapat segelintir bersimpati terhadap harapan pemain itu yang hancur dek kerana gagal mewakili negaranya di Piala Asia.
"Tidak mengapa, tiada rezeki," ujar penyokong bernama Ismailhadi Mohddonggohon.
"Tidak patut," komen Hashim Badri ringkas.
Selain Saddil, Tae-yong turut menggugurkan seorang lagi pemain iaitu Arkhan Fikri daripada senarai akhir skuad Indonesia ke Piala Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram