Lebih berminat ke Man City padam hasrat Ratcliffe bawa bintang Perancis ke Old Trafford


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Ratcliffe bersedia membuat pelaburan untuk membantu Manchester United kembali dapatkan rentak terbaik di atas padang. — Agensi

SETELAH berbulan-bulan menunggu, penyokong Manchester United seluruh dunia akhirnya bergembira apabila hartawan United Kingdom, Sir Jim Ratcliffe diumumkan pemegang saham minoriti baharu kelab.

Berdasarkan laporan, dia kini memiliki 25 peratus daripada saham pasukan ternama itu yang akan mengurangkan pengaruh Keluarga Glazers terhadap masa depan mereka.

Jadi, dalam usaha menaikkan semula reputasi skuad The Red Devils, pengerusi syarikat INEOS itu dilaporkan mahu membawa masuk nama-nama baharu untuk mengembalikan prestasi pasukan di atas padang.

BACA LAGI: Gara-gara ayam mentah, Man United hilang status 5 bintang

Ketika ini, khabar angin di media sosial mengatakan juara 13 kali Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut berminat untuk mendapatkan pemain sayap Crystal Palace, Michael Olise.

Penyerang yang sebelum ini dilaporkan hampir menyertai Chelsea itu mempunyai rekod cukup baik dalam divisyen bola sepak teratas England dengan sembilan gol dan 17 bantuan jaringan direkodkan dalam 72 penampilan.

Selain itu, usianya yang baru sahaja mencecah 22 tahun membolehkannya berada dalam skuad kendalian Erik ten Hag yang sering memberi kepercayaan terhadap ubi muda.

tottenham-hotspur-v-crystal-palace-premier-league-1

Olise kini berada dalam radar beberapa pasukan EPL, termasuk Manchester United. — Agensi

Bagaimanapun, usaha Ratcliffe untuk mencatatkan pembelian pertamanya seakan-akan berdepan jalan buntu apabila laporan mengatakan pemain kelahiran Perancis tersebut lebih berminat untuk menyertai seteru The Red Devils, Manchester City.

Menurut bekas pengurus The Citizens, Stuart Pearce, prestasi memberangsangkan daripada pemain itu membuatkannya lebih sesuai untuk menyertai pasukan yang kini dikendalikan Pep Guardiola itu.

Musim ini, Olise sudah menjaringkan lima gol untuk Crystal Palace dalam EPL dengan statistik tersebut meletakkannya hanya satu tempat di belakang penjaring terbanyak pasukan, Osmane Edouard.

Berdasarkan penilaian, pemain tersebut mempunyai tag harga mencecah RM355 juta (£60 juta) yang pastinya tidak akan menjadi isu kepada Manchester United selepas kehadiran Ratcliffe.

Kehadirannya pastinya dialu-alukan selepas skuad The Red Devils kehilangan khidmat Jadon Sancho yang memilih untuk pulang ke Borussia Dortmund secara pinjaman baru-baru ini.

Di samping itu, prestasi tidak menentu daripada pemain sayap Brazil, Antony akan juga mendorong perpindahan berkenaan kerana dia masih belum menjaringkan sebarang gol dalam liga musim ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram