Gara-gara ayam mentah, Man United hilang status 5 bintang


  • Podium
  • Sabtu, 23 Dis 2023

Manchester United bagaimanapun bertegas mereka akan mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap isu tersebut. — Agensi

KETIKA ini, reputasi Manchester United yang pernah menjadi kelab paling megah di peringkat global kian tercalar selepas rentetan keputusan tidak memberangsangkan sepanjang musim.

Mereka yang menduduki tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) mengalami satu kempen cukup memalukan di pentas Eropah setelah tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Namun, baru-baru ini, imej pasukan terbabit sekali lagi menjadi bahan bualan apabila media antarabangsa menyatakan tahap kebersihan mereka berada di tahap amat membimbangkan.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Agensi Standard Pemakanan (FSA), beberapa pengunjung di Stadium Old Trafford, Manchester mengalami keracunan makanan selepas ayam yang dihidangkan didapati tidak dimasak dengan sempurna.

Situasi itu menyebabkan pihak penyediaan makanan Manchester United hanya diberikan satu daripada lima bintang ditetapkan piawaian di negara berkenaan.

Old-Trafford-Manchester-United-c-Samuel-Regan-Asante-on-Unsplash

Stadium Old Trafford dikenali dengan statusnya yang cukup megah di mata orang ramai.

Jurucakap daerah dalam satu laporan menyatakan tahap kebersihan juara EPL 13 kali tersebut sudah merudum selepas satu siasatan dibuat terhadap insiden 21 November lalu.

Dalam satu kenyataan berbeza, Manchester United bertegas mereka akan berusaha untuk meningkatkan tahap kebersihan dan mendapatkan 'standard lima bintang' seperti mana ditetapkan FSA.

"Untuk setiap hari perlawanan, kami menyediakan juadah untuk 8,000 pengunjung yang disediakan sebanyak 28 dapur dalam stadium ini.

"Ini merupakan satu insiden terpencil dan segala kesulitan amat dikesali. Kesemua pihak dalam kelab akan cuba sedaya upaya mendapatkan status kebersihan secepat mungkin," katanya.

Stadium Old Trafford sememangnya cukup dikenali dengan standardnya yang cukup cemerlang, baik dari segi penyediaan makanan mahupun keselesaan seperti mana dikongsikan orang ramai. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram