MALAYSIA yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit, akan memulakan kempen Kumpulan E mereka, dengan menentang Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.
Pastinya, skuad kendalian Kim Pan-gon itu dilihat sudah cukup bersedia untuk menggalas tanggungjawab masing-masing dalam membawa maruah Malaysia di pentas Asia.
Namun, satu perkongsian yang dihantar oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Facebook mengundang reaksi negatif daripada penyokong negara jiran iaitu Indonesia.
Ia susulan selepas gambar pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim berserta beberapa bintang di negara Asia antaranya kapten Korea Selatan, Son Heung-min turut dipapar dalam laman media sosial tersebut.
Faisal Halim (jersi kuning) antara pemain yang menjadi pilihan AFC. — Facebook/AFCCUP
Dalam pada itu, meninjau ruangan komen di Facebook, rata-rata penyokong Indonesia nyata tidak berpuas hati apabila gambar Faisal Halim atau mesra dengan panggilan Mickey itu terpapar bersama bintang Asia yang lain.
Malah, ketiadaan gambar pemain Indonesia dalam posting tersebut menambah luka di hati peminat Sang Garuda meskipun pernah menjadi topik utama penyokong dunia bola sepak apabila bek kanan Indonesia, Asnawi Mangkualam pernah mengawal bintang Manchester United, Alejandro Garnacho dalam perlawanan persahabatan menentang Argentina pada Jun 2023.
"Macam admin ni suka betul dengan Faisal Halim ya, patut ada Asnawi juga," kata Nurazhar Mohd Zin.
"Kantor (pejabat) AFC di Kuala Lumpur, patut lah ada gambar player mereka," kata Muiz Shahrin.
"Maybe AFC office di Kuala Lumpur, selalu lepak dengan Faisal Halim," kata Mab Burn. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram