Kelab gergasi Lembah Klang bernafsu besar, sasarkan 3 penyerang Liga Korea musim depan


  • Podium
  • Rabu, 10 Jan 2024

Selangor FC dan KL City FC dilihat perlu membawa masuk import di barisan serangan pasukan untuk musim depan. — Bernama

MEDIA sosial ketika ini sedang dibanjiri dengan gosip perpindahan setelah saingan Liga Super berakhir Disember lalu dengan ada daripadanya sukar dipercayai ramai.

Selain mengaitkan pemain tempatan dengan kelab baharu, terdapat juga ura-ura mengatakan beberapa pasukan sudah mengenal pasti import yang bakal disambar mereka.

Usaha terbabit dibuat bagi memastikan mereka dapat bersaing dengan lebih hebat musim depan, baik di peringkat domestik mahupun luar negara.

Antara pasukan yang pastinya kecoh dikatakan bakal membawa masuk nama-nama baharu ialah kelab-kelab yang berpangkalan di Lembah Klang, iaitu Selangor FC, Kuala Lumpur (KL) City FC dan PDRM FC.

Perkara tersebut dibuktikan apabila seorang pengguna laman X, Ismael Wong yang mengatakan salah satu pasukan itu sedang giat mencari import untuk memperkuatkan barisan serangan mereka.

110017251_2755916061176917_2527049183652766197_o

Gustavo yang kini beraksi di Korea Selatan merupakan antara nama yang disebut-sebut. Agensi

"Kelab gergasi Lembah Klang sedang pertimbangkan penyerang import dari K League. Pengantara telah dihantar bulan lepas untuk jumpa beberapa pemain dan ejen secara bersemuka.

"Tiga nama telah disebut. Gustavo (Jeonbuk Hyundai Motor) dari Brazil, Yu Jeong-Wan (ejen bebas) dari Korea Selatan, Dino Islamovic (Gangwon FC) dari Sweden," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Fans mula gelisah, Selangor main teka teki ‘up’ gambar bekas pemain

Meskipun pengguna laman X itu bukanlah sumber yang tepat, beberapa ciapan sebelum ini menunjukkan dia mengekori rapat perkembangan bola sepak tempatan.

Selain itu, dua daripada tiga pasukan Lembah Klang itu, iaitu Selangor FC dan KL City FC sememangnya perlu membawa masuk penyerang baharu musim depan.

Romel-Morales

Romel (kanan) dilaporkan tidak akan bersama KL City FC musim depan. Facebook/FAM

Skuad Gergasi Merah difahamkan sudah kehilangan Richmond Boakye serta pemenang Kasut Emas Liga Super musim lalu, Ayron del Valle yang masing-masing tidak disambung kontraknya.

Mereka dikatakan sedang giat mencari seorang pemain di posisi berkenaan berikutan cabaran cukup besar dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 2024/25.

Bagi skuad Warga Kota pula, status naturalisasi Romel Morales membuatkannya kini dipancing beberapa pasukan dengan Johor Darul Ta'zim dikhabarkan bersedia menyambar khidmatnya.

Jadi, sekiranya dua pasukan itu mahu mendapatkan import dari Korea Selatan, ia pastinya akan menghangatkan lagi suasana bola sepak tanah air musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram