Nidzam Adzha tawar diri letak jawatan lepas gagal beri Kedah gelaran Piala Malaysia 2017


  • Podium
  • Isnin, 06 Nov 2023

Nidzam Adzha tidak berjaya mempertahan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi KDA pada 2016. — Agensi

SEKITAR tahun 2015 hingga 2017, Kedah Darul Aman (KDA) FC berada dalam keadaan baik untuk menjadi salah sebuah pencabar kejuaraan di Malaysia.

Namun begitu, momentum tersebut terganggu akibat pengendalinya, Tan Cheng Hoe disunting oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengemudi Harimau Malaya ketika pertengahan musim 2017.

Perginya Cheng Hoe, Nidzam Adzha tampil untuk menggantikan tempatnya. Pada tahun tersebut, Nidzam berjaya membawa KDA untuk mara sehingga ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas membantu mereka memenangi Piala FA 2017.

Bertemu Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Nidzam tidak mampu untuk membawa pulang kejuaraan buat KDA seperti mana dilakukan Cheng Hoe pada tahun 2016.

Nidzam kemudiannya menawarkan diri untuk meletakkan jawatan selepas KDA kalah 0-2 kepada JDT kerana berasakan dirinya tidak cukup pengalaman mengendalikan pasukan sebesar Sang Kenari.

Webp.net-resizeimage-12-2

Nidzam berjaya berikan Piala FA buat penyokong KDA pada 2017. — Agensi

"Saya dalam proses belajar dan saya perlukan masa untuk menggalas tanggungjawab ini walaupun telah memenangi Piala FA. Saya rasa KDA sebagai sebuah pasukan elit, memerlukan jurulatih yang lebih berpengalaman.

"Saya teragak-agak untuk mengambil tugas ini. Hanya kerana sokongan daripada semua pihak seperti pemain hingga pengurusan yang buatkan saya akhirnya mengambil tugas ini," kata Nidzam.

Nidzam akhirnya meninggalkan KDA dengan Ramon Marcote menjadi pengendali Sang Kenari untuk musim 2018. Namun begitu, Nidzam kembali mengendalikan pasukan tersebut pada April 2018 selepas Marcote dilepaskan.

Nidzam kemudiannya meninggalkan KDA pada Ogos 2018. Kini, dia tidak lagi menjadi jurulatih sebaliknya menjadi pengarah teknikal di Kuala Lumpur City FC.

KDA kemudiannya berjaya memenagi kejuaraan Piala FA pada 2019 hasil bimbingan Aidil Sharin dan selepas itu masih belum ada tambahan piala dalam kabinet kejuaraan pasukan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram