CABARAN baharu dijangka menanti skuad kebangsaan dalam aksi pembukaan Piala Asia berdepan Jordan pada Khamis depan apabila difahamkan bek kiri utama, Corbin Ong mengalami kecederaan.
Dia yang tidak diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang Syria tidak berada di tahap kecergasan terbaik selepas tampil dalam aksi final Piala FA antara Johor Darul Ta'zim dan Terengganu FC Disember lalu.
Ketiadaan bek kiri berkenaan pastinya dikhuatiri peminat bola sepak tanah air yang memahami kepentingannya dalam pasukan, baik dari segi serangan mahupun pertahanan.
BACA LAGI: ‘Expert’ ramal Harimau Malaya cuma ada 0.2 peratus peluang julang Piala Asia
Peluang bakal diberikan kepada pemain pinjaman Sabah FC, Daniel Ting yang dipanggil ketua jurulatih, Kim Pan-gon sebagai pilihan kedua berikutan prestasinya yang cemerlang tahun lalu.
Meskipun hanya memiliki empat penampilan bersama Harimau Malaya, persiapan awal dilakukan skuad kebangsaan berjaya membantunya bersedia di samping mengenali rakan-sepasukannya dengan lebih rapat.
Ketiadaan Corbin Ong kini mula dikhuatiri penyokong Harimau Malaya. — Facebook/FAM
"Pemain terbaik negara berada di sini ketika ini dan tahap permainan adalah lebih tinggi. Ia merupakan satu kelebihan kerana kami sudah mengadakan persiapan awal di Qatar.
"Saya juga berasa bertuah kerana mengenali ramai pemain ketika dibawa masuk ke dalam pasukan dan persefahaman antara satu sama lain cukup bagus," katanya.
Pemain berusia 32 tahun itu merupakan antara yang diturunkan ketika Harimau Malaya mencatatkan keputusan seri 2-2 berdepan Syria yang berada di tangga ke-91 dunia.
Katanya, kebolehan skuad kebangsaan mengikat negara Timur Tengah berkenaan membuktikan kualiti dimiliki mereka selain menunjukkan hasil daripada latihan dibuat pasukan.
"Syria berada di kedudukan lebih tinggi, tetapi saya berasakan kita mampu memenangi perlawanan terbabit. Kita memberikan tentangan walaupun terdapatnya jurang tinggi dalam kedudukan.
"Perlawanan itu juga menjadi ujian baik untuk mengetahui tahap kecergasan kami selain pendekatan taktikal yang sudah kami praktikkan dalam sesi latihan," katanya.
Selepas aksi berdepan Jordan, pasukan negara akan bertemu Bahrain pada 20 Januari sebelum menutup saingan Kumpulan E lima hari kemudian berdepan Korea Selatan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram