‘Expert’ ramal Harimau Malaya cuma ada 0.2 peratus peluang julang Piala Asia


  • Podium
  • Rabu, 10 Jan 2024

Walaupun dikatakan agak tipis muncul juara Piala Asia, Harimau Malaya masih diharap akan cipta kejutan di Qatar. — Facebook/FAM

KESEMUA 24 pasukan yang menyertai Piala Asia 2023 di Qatar kini giat mempersiap pasukan menjelang sepak mula kejohanan pada 13 Januari.

Majoriti pasukan termasuklah Malaysia sudah berada di Qatar supaya mereka dapat membiasakan diri dengan keadaan cuaca serta kualiti padang di sana.

Kesemua pasukan yang bertanding sebenarnya mempunyai peluang untuk meraih kejuaraan termasuklah Harimau Malaya. Walaupun bukanlah pasukan pilihan, tetapi skuad kendalian Kim Pan-gon juga masih mempunyai peluang untuk cuba merangkul kejuaraan terulung Asia itu.

Namun begitu, peratusan untuk Malaysia menjuarai Piala Asia dilihat amat kecil menurut 'pakar'. 'Pakar' yang dimaksudkan adalah Supercomputer yang terkenal dengan pelbagai ramalan dilakukan mengenai keputusan bola sepak terutamanya mengenai perebutan takhta English Premier League (EPL).

Dalam ramalan yang dikeluarkan oleh Supercomputer itu, Malaysia hanya diberikan peluang sebesar 0.2 peratus untuk memenangi Piala Asia 2023.

BACA LAGI: [VIDEO] Kenangan pahit 2007, gol Indra Putra jadi jaringan tunggal Malaysia semasa kali terakhir beraksi di Piala Asia

GDZ0grFasAAv5HH

Ramalan Supercomputer yang tidak meletakkan harapan tinggi buat Harimau Malaya. — Opta Supercomputer

Peratusan tersebut adalah yang kedua terkecil diberikan dengan Hong Kong memperoleh jumlah terendah iaitu 0.1 peratus.

Selain Malaysia, Indonesia dan Republik Kyrgyz turut diberikan peratusan yang sama mengenai peluang untuk merangkul Piala Asia.

Dua lagi pasukan Asia Tenggara iaitu Thailand mempunyai peluang yang lebih besar iaitu sebanyak 0.4 peratus manakala Vietnam pula 0.5 peratus.

Dalam masa yang sama, Supercomputer meramal Jepun sebagai juara Piala Asia dengan Samurai Biru memperoleh 24.6 peratus peluang untuk memenangi trofi tersebut buat kali kelima.

Walaupun dibarisi ramai pemain bintang, Korea Selatan sebaliknya cuma mempunyai peluang 14.3 peratus untuk muncul juara di tempat kedua menurut ramalan Superkomputer. Iran pula memperoleh 11.2 peratus untuk menduduki tempat ketiga.

Atas kertas, Malaysia mungkin mempunyai peluang yang amat tipis untuk bergelar juara tetapi dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku. Diharap, Harimau Malaya akan melakar kejutan di Qatar kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram