MALAYSIA akan memulakan cabaran di Piala Asia dengan turun menentang Jordan pada aksi pertama peringkat kumpulan dengan perlawanan akan diadakan pada 16 Januari 2024.
Peluang untuk mendapatkan tiga mata sekali gus memulakan kempen dengan langkah kanan pastinya mahu dilakukan oleh mana-mana pasukan termasuklah Harimau Malaya pimpinan Kim Pan-gon.
Jika berjaya mendapatkan keputusan positif, pastinya Malaysia berada dalam landasan baik untuk cuba menembusi pusingan kalah mati sekali gus mencipta kejutan di kejohanan ini.
Namun begitu, perancangan Pan-gon pastinya memerlukan perubahan kerana Malaysia dijangka tempang apabila turun menentang Jordan pada aksi pertama.
BACA LAGI: Belum boleh 'beat' Corbin, Fazly Mazlan dan Khuzaimi Piee berdepan nasib berbeza
Skuad Malaysia berlatih untuk perlawanan menentang Jordan. — FAM
Hal ini kerana, pertahanan kiri, La'Vere Corbin-Ong dikatakan masih belum cergas sepenuhnya untuk turun beraksi.
Corbin-Ong, yang mendapatkan kecederaan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia sewaktu mewakili Johor Darul Ta'zim (JDT) bertemu Terengganu dilihat masih lagi berlatih bersama pemain Harimau Malaya yang lain.
Namun Corbin-Ong dilaporkan tidak turun beraksi ketika perlawanan persahabatan tertutup menentang Syria yang menyaksikan Malaysia seri 2-2 dengan lawan mereka itu.
Perkhabaran mengatakan Corbin-Ong tidak turun menentang Syria menguatkan potensi yang dia akan disisihkan dalam perlawanan bertemu Jordan.
Jika ia benar, maka Pan-gon perlu melakukan tindakan dengan meletakkan pemain lain di posisi pertahanan kiri. Calon terbaik dilihat untuk mengisi posisi tersebut adalah Daniel Ting atau Khuzaimi Piee.
Kedua-dua pemain ini tiada masalah untuk beraksi di bahagian sebelah kiri pertahanan. Oleh itu, jika diperlukan, mereka boleh memberikan persembahan baik menentang Jordan.
Walau apa yang terjadi, diharap tiada pemain kita yang mengalami kecederaan serius sekali gus dapat memberikan peluang untuk mereka menghasilkan persembahan terbaik sepanjang di Qatar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram