Fans mahu Terengganu masuk 'line', cantas usaha Selangor ikat Nazmi Faiz


  • Podium
  • Isnin, 08 Jan 2024

Nazmi Faiz hanya mengumpul 10 penampilan buat skuad senior JDT sepanjang musim lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

HEBOH di media sosial ketika ini mengatakan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Nazmi Faiz Mansor akan meninggalkan kelab itu selepas tujuh tahun memanaskan bangku simpanan.

Kesukaran untuk mendapatkan tempat akibat lambakan bintang menyaksikannya hanya beberapa kali diturunkan dengan situasi tersebut menjadi semakin menggusarkan musim lalu.

Secara keseluruhan, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu hanya diturunkan sebanyak 10 kali dalam kesemua pertandingan buat skuad senior dengan hanya tiga daripadanya merupakan penampilan dalam kesebelasan utama.

Peluang terhad itu menyaksikannya tersisih daripada saingan Piala Asia kali ini yang pastinya mengecewakan pemain yang pernah dilabel permata bersinar negara tersebut.

Ura-ura mengenai perpindahannya turut dikuatkan lagi apabila dia menyarung baju dengan tulisan bermaksud 'Play Me or Trade Me' yang seakan-akan memberi gambaran mengenai hasratnya untuk meninggalkan JDT.

415955588_360561673390882_7555324025413132388_n

Nazmi seakan-akan memberi mesej tersirat mengenai hasratnya untuk meninggalkan JDT.

Jadi, sekiranya Nazmi Faiz mahu meninggalkan pasukan Selatan tanah air itu, destinasi paling sesuai buatnya ialah Selangor FC yang pernah disertainya beberapa tahun lalu.

Selain mempunyai hubungan cukup baik dengan penyokong skuad Gergasi Merah, pemain berusia 29 tahun itu boleh dikatakan calon ideal sekiranya kelab Lembah Klang berkenaan mahu memperkuatkan bahagian tengah mereka.

Meskipun memiliki lambakan pilihan di posisi tersebut, pengalaman Nazmi bersama JDT boleh menjadi satu aset berharga buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang akan bersaing di pentas Asia.

Bagaimanapun, baru-baru ini, timbul satu spekulasi mengatakan sebuah lagi kelab Liga Super berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tersisih bersama skuad Harimau Selatan itu.

Menurut perkongsian di media sosial, sebahagian besar penyokong Terengganu FC mula memasang hasrat serta memberi cadangan kepada pihak pengurusan untuk mendapatkannya.

WhatsApp Image 2024-01-08 at 12.38.24

Tangkap layar daripada laman Wikipedia Nazmi Faiz yang disunting segelintir pihak.

BACA LAGI: Proses belum berakhir, 3 nama dijangka ikut jejak tinggalkan JDT

Perkara itu disaksikan apabila terdapat individu menyunting laman Wikipedia Nazmi Faiz dengan mengubah kelab semasanya kepada pasukan Pantai Timur berkenaan.

Walaupun khabar angin terbabit masih tidak disahkan mana-mana pihak, ia masih menunjukkan gambaran bahawa penyokong naib juara Piala Malaysia 2023 berkenaan berminat dengannya.

Ketika ini, pasukan bimbingan Tomislav Steinbruckner itu dikhabarkan semakin hampir untuk membawa masuk dua pemain JDT, Safawi Rasid serta Akhyar Rashid dengan status pinjaman.

Kehadiran Nazmi mampu meningkatkan kualiti dimiliki kelab terbabit yang bergelut dalam Liga Super 2023 berikutan ketiadaan pemain tengah konsisten sepanjang musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram