PERJALANAN penyerang Liberia, Abu Kamara bersama Kuching City FC akhirnya menemui titik nokhtah selepas dua musim menabur bakti di kelab berpangkalan di Borneo tanah air berkenaan.
Selepas melalui dua musim yang indah dan menjadi naib johan Piala Cabaran bersama Kuching City, Kamara menerusi media sosialnya mengucapkan selamat tinggal kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.
"Terima kasih Kuching City FC. Teruja untuk mencari perkara baharu. Semoga maju jaya Kuching City untuk musim 2024. Masa saya sudah tamat. Selamat tinggal," tulisnya di hantaran Insta Story pada Khamis.
Kamara bukan hadir sebagai import yang mempunyai reputasi besar namun bekas penyerang Makedonija itu berhasil menciptanya namanya dengan membantu Kuching City di saingan Liga Perdana 2022 sehingga naik pangkat ke Liga Super 2023.
BACA LAGI: Fans Selangor tak perlu tekan butang panik, 5 calon pengganti kini dalam radar
Tangkap layar ucapan selamat tinggal Kamara kepada The Cats.
Saham pemain berusia 26 tahun itu semakin meningkat ketika Kamara memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Perdana di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 dengan jaringan 11 gol untuk skuad The Cats.
Musim ini pula, bekas pemain kelab Slovenia, NK Rudar Velenje itu masih kekal dengan prestasi cemerlang apabila membantu skuad The Cats mencetak 13 jaringan gol dalam 22 perlawanan Liga Super dia diturunkan.
Berita pengumuman Kamara tidak berada di bawah perancangan Kuching pada musim depan membuka pintu kepada beberapa kelab Liga Super yang mempunyai masalah di bahagian serangan untuk memburu pemain tinggi lampai itu.
BACA LAGI: Dari Borneo ke Utara? Abu Kamara dikhabar tinggalkan Kuching City
Kasut emas Liga Perdana dan medal Piala Cabaran 2023 Kamara. — Instagram/AbuKamara
Antara kelab yang boleh mencuba nasib memantau Kamara ialah Selangor FC terutamanya kini Gergasi Merah sudah kehilangan Richmond Boakye untuk menjadi penyerang sandaran di saingan domestik dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Tidak kurang juga ada penyokong Terengganu FC (TFC) menyambut baik kehadiran Kamara pada musim depan untuk membantu penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut di bahagian serangan pasukan.
Walaupun TFC dalam misi mengurangkan kos namun harga Kamara tidaklah semahal import lain untuk dibawa masuk skuad Sang Penyu pada musim depan.
Selain dua kelab tersebut, Kedah Darul Aman (KDA) FC yang pernah dikaitkan dengan Kamara pada jendela perpindahan Julai lalu juga berkemungkinan masih menunjukkan minat untuk membawa penyerang berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram