KECOH di media sosial ketika ini mengatakan Kedah Darul Aman (KDA) FC bakal berwajah baharu musim depan dengan beberapa nama mula dikaitkan.
Meskipun menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga keempat, harapan lebih besar diletakkan penyokong Hijau Kuning bagi pasukan berkenaan untuk tahun depan.
Jadi, dalam merealisasikan hasrat terbabit, pihak pengurusan perlu membawa masuk pemain baharu sementara mereka yang kurang berkualiti perlu ditunjukkan jalan keluar.
Antara yang disebut-sebut bakal meninggalkan skuad Sang Kenari ialah bek kiri, Ariff Farhan Md Isa meskipun dia merupakan antara tonggak utama pasukan kendalian Nafuzi Zain.
Pemain yang merekodkan 23 penampilan Liga Super buat KDA FC berkenaan dilihat sedikit sukar untuk menambat hati penyokong Hijau Kuning atas prestasinya yang kurang konsisten.
Tangkap layar daripada komen Akram buat Ariff Farhan di laman Instagram.
Walaupun mencatatkan dua jaringan peribadi musim ini, Ariff dikatakan bergelut dalam aspek pertahanan, lebih-lebih lagi dalam situasi 'satu-lawan-satu'.
Situasi terbabit menyaksikan pemain berusia 27 tahun terbabit mula dikaitkan dengan perpindahan ke Kuching City FC dengan pengendalinya, Aidil Sharin Sahak dilihat berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Namun, baru-baru ini, anak jati Negeri Jelapang Padi itu dilihat turut mencuri perhatian Kuala Lumpur (KL) City FC berdasarkan satu komen di laman Instagram peribadinya.
Hantaran Ariff yang memberikan ucapan penghargaan terhadap pihak pengurusan KDA FC menyaksikan ramai pengguna media sosial lain memberikan kata-kata semangat buatnya.
Tetapi, terselit dalam ruangan komen itu ialah bekas pemain skuad Sang Kenari, Akram Mahinan yang memberi bayangan mengenai pasukan baharu Ariff musim depan.
Akram beraksi buat KDA FC untuk dua musim bermula 2017.
"Selamat datang ke ibu kota, sahabatku," ucapnya ringkas buat bek KDA FC tersebut.
Kata-kata itu sememangnya mencuri perhatian ramai dengan Ariff Farhan mempunyai kualiti untuk meningkatkan mutu pertahanan skuad Warga Kota musim depan.
Mereka yang kini meletakkan Nazirul Naim atau Declan Lambert di posisi berkenaan memerlukan seseorang yang lebih konsisten pada saingan Liga Super 2024/25.
Jadi, sekiranya Ariff memilih untuk menyertai juara Piala Malaysia 2021 itu musim depan, ia pastinya akan memberi kelebihan buat mereka.
Akram sebelum ini pernah bergandingan dengan pertahanan kiri berkenaan dari 2017 sehingga 2018 dengan masing-masing memberi sumbangan penting ketika Kedah menjuarai Piala FA 2017 di bawah kendalian Aidil Sharin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram