Inspirasi Arteta bakal buat Kalamullah jadi pilihan kedua, Shaheeswaran masa depan Nafuziball


  • Podium
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Kalamullah musim ini menjadi penjaga gol utama KDA FC. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC musim ini sedang dalam proses ingin keluar daripada falsafah corak permainan tiki-taka Tan Cheng Hoe dan total football yang sinonim dengan bekas pengendali sebelum ini, Aidil Sharin Sahak.

Pengaruh dua bekas jurulatih itu semakin pudar dan kini Nafuzi Zain membawa corak permainan yang tersendiri dan sudah tentu falsafah berkenaan akan mengambil masa untuk disesuaikan dengan pemain baharu

Pengendali berusia 45 tahun itu difahamkan menggunakan ketua jurulatih Arsenal, Mikel Arteta sebagai sumber inspirasi dalam coraknya dan falsafah tersebut dikenali sebagai Nafuziball.

Corak permainan Nafuziball boleh dilihat ketika skuad Sang Kenari melakukan serangan, bek kiri Kedah, Ariff Farhan akan masuk ke bahagian tengah untuk memadatkan kawasan tengah lawan supaya permainan akan dikuasai KDA FC.

Bukan itu sahaja, corak permainan sedemikian rupa juga akan memudahkan pengaliran bola dalam pasukan Hijau Kuning kerana terdapat banyak lebihan pilihan pemain di jentera tengah pasukan.

Manakala, penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz pula akan memainkan peranan di di bahagian bawah dengan perlu segera membina keyakinan dan kepercayaan kepada rakan sepasukan dalam membuat hantaran bola rendah.

WhatsApp Image 2023-12-22 at 14.12.10

Nafuzi akan kekal menerajui Kedah pada musim depan. — Facebook/KDAFC

Sepanjang pemerhatian penulis, terutamanya ketika Kedah menentang Selangor FC, Nafuzi memberi arahan supaya Kalamullah menghantar kepada bek kanan, Loqman Hakim namun perkara berkenaan tidak berlaku.

Sama ada ia bukan kepakaran Kalamullah. Disebabkan itu ada kemungkinan Kedah kini dikatakan sedang mengintai penjaga gol Perak FC, T.Shaheeswaran kerana kebolehannya beraksi sebagai tambahan pertahanan.

Bekas pengendali Terengganu itu memerlukan 11 orang pemain dalam mencantikkan corak permainan yang diinginnya dan ia juga melibatkan peranan seorang penjaga gol. Falsafah inilah corak moden yang sedang dipraktikkan oleh Nafuzi Zain.

Peranan seorang penjaga gol dalam corak permainan moden ialah boleh menjadi sweeper, membuat hantaran dan tidak gentar dalam memegang bola dan ketika menerima tekanan dari pihak lawan.

Akhir sekali, pemain Kedah perlu cepat membina keyakinan dalam memegang bola, dan tidak mudah hilang bola ketika di tekan oleh pihak lawan. Corak yang Nafuzi inginkan ini dimulakan dari bawah dan pihak lawan akan sedaya upaya akan menekan dari awal.

Jika pemain tenang ketika diasak dan tidak mudah hilang bola, ia berupaya menarik pihak lawan untuk membuka ruang diatas bagi memudahkan serangan dilakukan oleh anak-anak buah Nafuzi.

Semoga Nafuziball akan mencapai impak yang positif di tahun 2024. Pulun Kedah Pulun, never give up, belive in yourself.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti.Budak Bendang

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram