Hajat bintang muda bernilai RM3.8 juta beraksi buat Harimau Malaya tak kesampaian


  • Podium
  • Jumaat, 12 Jan 2024

De Keersmaecker sebelum ini dilaporkan berpeluang menjadi pemain warisan baharu buat skuad kebangsaan. — Agensi

KEHADIRAN pemain warisan, seperti Corbin Ong dan Matt Davies merupakan salah satu rahmat terbesar buat skuad kebangsaan yang berjaya mempamerkan aksi terbaik beberapa tahun kebelakangan ini.

Selain membantu negara dalam menamatkan penantian ke Piala Asia, kedatangan mereka juga menjadi kunci di sebalik usaha Harimau Malaya menambah baik kedudukan dalam ranking FIFA.

Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat inisiatif Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenal pasti pemain dalam kategori itu untuk diserap ke dalam pasukan negara.

BACA LAGI: Eldstal dedah pemain warisan Harimau Malaya ada kelebihan di Qatar

Langkah berkenaan dibuktikan apabila pada tahun lalu, dua pemain warisan, iaitu Nooa Laine dan Richard Chin diberikan peluang untuk menampilkan kebolehan masing-masing bersama skuad kebangsaan.

Usaha tersebut dilihat terus digiatkan apabila terdapat laman penyokong di media sosial berjaya mengenal pasti pemain warisan di luar negara yang mempunyai peluang beraksi dalam Harimau Malaya.

336565098_744491530666617_2265314735244306960_n-1050x700

Nooa merupakan pemain warisan terkini mewakili Harimau Malaya. Facebook/FAM

Antara pihak yang kerap berbuat demikian ialah pengguna laman Instagram, FR Future Talents yang sering berkongsi maklumat mengenai hal terbabit kepada peminat bola sepak tanah air.

Baru-baru ini, mereka mendapati seorang pemain tengah kelahiran Belgium, Brian de Keersmaecker mempunyai pertalian darah Malaysia yang membuka peluang untuknya beraksi buat Harimau Malaya.

Ubi muda yang kini beraksi dalam liga utama Belanda bersama Heracles Almelo itu dilihat mampu meningkatkan kebolehan skuad kebangsaan dengan pengalamannya berharga.

Berdasarkan laman sesawang Transfermarkt, de Keersmaecker mempunyai nilai perpindahan mencecah RM3.8 juta (€750,000) yang menceritakan kebolehan serta prestasinya ketika ini.

Namun, hasrat penyokong untuk melihat pemain berusia 24 tahun terbabit menyarung jersi skuad kebangsaan tidak kesampaian apabila hanya moyangnya mempunyai pertalian darah dengan negara.

2276775

Dion Cools pernah mewakili skuad belia Belgium sebelum menyertai Harimau Malaya. Facebook/FAM

Perkhabaran berkenaan menyaksikan de Keersmaecker tidak memenuhi peraturan FIFA yang menyatakan seseorang boleh mewakili negara lain jika datuk atau neneknya mempunyai kewarganegaraan berbeza.

"Ayah kepada datuk saya mempunyai pertalian darah di Malaysia, tetapi saya tidak. Jadi, saya tidak tahu sekiranya saya boleh beraksi buat Harimau Malaya," katanya seperti mana dikongsikan FR Future Talents.

Situasi itu menyaksikan peluang de Keersmaecker mengikut jejak langkah Dion Cools tidak kesampaian dengan bek tengah itu juga merupakan pemain yang menghabiskan majoriti daripada usianya di Belgium meskipun lahir di Kuching, Sarawak.

Berdasarkan skuad Piala Asia 2023, lapan daripada 26 pemain disenaraikan Kim Pan-gon merupakan pemain warisan dengan masing-masing dijangka mempunyai peranan penting di Qatar.

Perkara itu menceritakan mengenai kepentingan mereka dalam pasukan negara dengan kegagalan mendapatkan de Keersmaecker pastinya sukar ditelan sebahagian peminat bola sepak tanah air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram