Fans Indonesia berharap banyak pejabat ikut jejak langkah bank Malaysia benarkan pekerja sarung jersi HM


  • Podium
  • Jumaat, 12 Jan 2024

Sebuah bank akan membenarkan pekerjanya menyarung jersi Malaysia ketika hadir di pejabat. — Facebook/FAM

KEHANGATAN Piala Asia 2023 semakin dirasai dengan sepak mula kejohanan pada 13 Januari apabila tuan rumah, Qatar berdepan Lubnan.

Walaupun seluruh benua Asia kini sedang mengalami 'demam' Piala Asia, tetapi kehangatan di Malaysia seolah-olah tidak hebat berbanding ketika Harimau Malaya menyertai Piala AFF.

Ini menimbulkan rasa tidak senang penyokong kerana berpendapat tiada kempen atau promosi yang hebat diadakan untuk menimbulkan keterujaan orang ramai terhadap Piala Asia.

Malah, tiada lagu semangat yang direka khas untuk Harimau Malaya bagi kejohanan kali ini untuk mencipta hype selepas lebih 40 tahun Malaysia tidak ke Piala Asia secara merit.

Akan tetapi, telah muncul satu usaha kecil yang dilakukan oleh sebuah insitusi perbankan negara yang mahu menghidupkan kemeriahan Piala Asia walaupun di tempat kerja.

401454688_1045383563201546_5301096964258547514_n

Kemeriahan Piala Asia seolah tidak dirasai di negara kita. — Facebook/FAM

Menurut perkongsian oleh Che Wan di laman X (Twitter), dia menunjukkan satu tangkap layar berbentuk memo oleh sebuah bank tempatan yang menyeru pekerja mereka menyarung jersi Harimau Malaya pada hari Isnin, 15 Januari.

Tarikh itu dipilih kerana skuad kendalian Kim Pan-gon akan turun beraksi menentang Jordan pada awal pagi Selasa waktu Malaysia.

"Tahniah Bank Muamalat. Ada tempat kerja anda yang telah memberikan memo yang sama? Ayuh semarakkan semangat Piala Asia 2023!," kata Che Wan dalam siarannya.

Siaran tersebut nyata menarik perhatian ramai penyokong bola sepak Malaysia dengan ada yang mula memetik akaun media sosial syarikat-syarikat lain.

Malah, ada juga yang menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan arahan sama kepada penjawat awam.

Selain Anwar, nama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Siddiq turut diseru oleh warganet.

"Harapnya boleh dilaksanakan kepada penjawat awam juga. Tolonglah. Hari perlawanan sahaja pun jadilah. Come on! @hannahyeoh, @fahmifadzil, @anwaribrahim," cadang Yon Shappler.

"Boleh juga buat untuk warga guru pula, YB @FadhlinaSiddiq," kata Muszt pula.

BACA LAGI: Patutlah sendu, 'hype' lagu semangat Piala Asia tak sama macam zaman menang Piala AFF

Selain penyokong Malaysia, pendukung Indonesia juga sebenarnya berharap agar pejabat-pejabat di negara tersebut mengikut jejak langkah yang dilakukan.

Berkemungkinan di Indonesia kemeriahan Piala Asia tidak begitu dirasai, sama seperti kita.

"Diharapkan majoriti pejabat di Indonesia akan membenarkan pekerja memakai jersi timnas Indonesia pada hari perlawanan. Kebetulan pula kesemua perlawanan (Indonesia) diadakan pada hari bekerja," kata penyokong Indonesia bernama Oghie Gigs.

Dua perlawanan melibatkan Malaysia akan diadakan pada hari bekerja iaitu bertemu Jordan (16 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram