NAMA Guilherme De Paula cukup sinonim dengan bola sepak di Malaysia. Sebut saja namanya, pasti akan ramai mengenali penyerang naturalisasi Malaysia itu.
Sebelum menjadi pemain naturalisasi, De Paula sudah meraih reputasi dalam kalangan penyokong terutamanya pendukung Selangor FC yang merupakan kelab pertamanya di Malaysia.
Ramai yang berasakan dia tidaklah sebagai penyerang import Selangor yang lain seperti Paulo Rangel atau Bambang Pamungkas, tetapi De Paula tetap mempunyai detik gemilangnya bersama Gergasi Merah.
Kemuncak De Paula bersama Selangor adalah ketika 2015 sewaktu mereka dalam perjalanan menuju kejuaraan Piala Malaysia ke-33. Dalam aksi separuh akhir kedua menentang Sri Pahang FC, penyerang kelahiran Brazil itu telah melakukan kerja 'gila'.
BACA LAGI: [VIDEO] Mula hilang dari radar, percayalah rembatan, larian, De Paula pernah persis CR7
Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Shah Alam, Shah Alam itu, kedua-dua pasukan sibuk mencari jaringan untuk memecah kebuntuan selepas aksi pertama di Kuantan berakhir tanpa jaringan.
Pada minit ke-11, De Paula telah membuatkan Stadium Shah Alam bergema apabila tindakan pentingkan dirinya membawa tuah buat Selangor. Saat Selangor menyerang, bola jatuh di kaki Hadi Yahya dari jarak kira-kira 30 meter dari gol Sri Pahang.
Namun begitu, De Paula tiba-tiba saja datang ke arah Hadi lalu mencuri bola dari penguasaan pemain tersebut. Reaksi Hadi jelas tidak senang kerana ketika itu dia sendiri mempunyai peluang untuk menyerang.
Selepas merampas bola, De Paula terus melancarkan satu rembatan roket yang menewaskan Khairulazhan Khalid di pintu gol Sri Pahang sekali gus meletakkan Selangor di depan.
Tindakan pentingkan diri De Paula itu mujur memberikan tuah buat Selangor apabila gol berjaya dihasilkan. Tidak dapat dibayangkan jika rembatan itu ditepis Azhan atau melambung jauh dari sasaran.
Jaringan tersebut merupakan salah satu daripada dua gol yang terhasil pada perlawanan tersebut termasuklah penyudah Nazmi Faiz Mansor yang dilakukan pada separuh masa kedua.
Dua gol itu membawa Selangor ke perlawanan akhir sekali gus berjaya melengkapkan Misi 33 dengan menewaskan Kedah Darul Aman FC di peringkat tersebut.
Kini, semuanya sudah pun berubah. De Paula sudah tidak beraksi di Liga Super sebaliknya bermain di Liga M3 bersama-sama Melaka FC.
Hadi juga tidak lagi bermain secara profesional sementara Nazmi bersama Johor Darul Ta'zim. Azhan pula meninggalkan Sri Pahang dan sekarang bersama Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram