Sering dikutuk 'liga petani' tapi Liga Super paling ramai pemain import beraksi di Piala Asia


  • Podium
  • Rabu, 10 Jan 2024

Juraboev (kiri) dan Amat (kanan) antara bintang import Liga Super yang beraksi di Piala Asia.

SATU masa dulu, saingan Liga Super sering dipandang rendah oleh ramai pihak terutamanya mereka di luar mereka.

Pernah satu ketika, kita dikelaskan dengan liga gred D, yang secara tidak langsung menunjukkan betapa rendahnya kualiti bola sepak Malaysia.

Namun begitu, tahun demi tahun kancah bola sepak kita semakin baik dan ia turut memberikan manfaat kepada pasukan kebangsaan hingga berjaya layak ke Piala Asia 2023.

Walaupun semakin meningkat, liga kita tetap juga dikritik terutamanya oleh penyokong bola sepak di negara-negara jiran kerana menganggap Liga Super sebagai 'liga petani'.

BACA LAGI: ‘Expert’ ramal Harimau Malaya cuma ada 0.2 peratus peluang julang Piala Asia

404423704_840508841414179_1237471357057389634_n

Noor Al-Rawabdeh antara pemain import Liga Super yang beraksi di Piala Asia. — Facebook/Selangor FC

Hal ini kerana, sehingga 10 tahun, tiada siapa yang mampu memecahkan dominasi Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk menjadi juara liga. Oleh kerana itu, timbul anggapan bola sepak Malaysia tidaklah bagus mana.

Namun, tanggapan itu berjaya ditepis dengan Liga Super menjadi destinasi ramai pemain import berkualiti untuk meneruskan karier. Lebih menarik, mereka turut memberikan sumbangan kepada skuad kebangsaan masing-masing.

Ia secara tak langsung menjadikan Liga Super sebagai pertandingan mempunyai wakil paling ramai di Piala Asia bagi pemain import dalam kalangan liga Asia Tenggara.

Memetik siaran Asean Football, Liga Super mempunyai tujuh wakil dalam kalangan pemain import yang mewakili pelbagai negara di Piala Asia 2023. Mereka adalah:

  1. Jordi Amat (JDT - Indonesia)
  2. Saddil Ramdani (Sabah FC - Indonesia)
  3. Fadi Awad (PDRM FC - Jordan)
  4. Noor Al-Rawabdeh (Selangor FC - Jordan)
  5. Amirbek Juraboev (Kedah Darul Aman FC - Tajikistan)
  6. Moses Etede (Kedah Darul Aman FC - Bahrain)
  7. Soony Saad (Penang FC - Lubnan)

Jumlah tersebut sebenarnya boleh meningkat kepada lapan jika hendak mengambil kira pemain baharu JDT iaitu Jalil Elias yang beraksi bersama-sama Syria.

Angka itu turut boleh naik kepada sembilan sekiranya mengambil kira pemain Uzbekistan, Umarbek Eshmurodov yang dilaporkan semakin hampir menyertai Selangor.

Sebagai perbandingan, saingan Thai League di Thailand mempunyai lima pemain import beraksi di Piala Asia selain empat wakil dari Liga 1 Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram