Patutlah sendu, 'hype' lagu semangat Piala Asia tak sama macam zaman menang Piala AFF


  • Podium
  • Khamis, 11 Jan 2024

Jika ada lagu semangat Harimau Malaya, 'hype' Malaysia bermain di Piala Asia akan lebih dirasai di seluruh negara. — Facebook/FAM

MALAYSIA akhirnya berjaya layak ke saingan Piala Asia secara merit selepas 43 tahun menanti. Kejayaan itu hadir selepas kepimpinan Kim Pan-gon berhasil merealisasikan impian yang sudah lama tertangguh.

Lazimnya, apabila sesebuah pasukan bola sepak berjaya layak ke pusingan akhir sesebuah kejohanan sebesar Piala Asia, pastinya hype akan meningkat. Satu negara akan dilanda 'demam' kerana teruja melihat pasukan kebangsaan sendiri akan turun bertarung.

Tetapi, walaupun bakal bertemu dengan pemain handalan seperti Son Heung-min dan Kim Min-jae, suasana di Malaysia seakan sendu dan menganggap layak ke Piala Asia cumalah satu perkara kecil.

Ramai penyokong yang mengadu tiadanya lonjakan semangat untuk memastikan satu negara teruja melihat bintang seperti Faisal Halim dan Arif Aiman turun beraksi. Salah satu kekurangan tersebut adalah tiadanya lagu tema atau lagu semangat yang diangkat untuk mengiringi Harimau Malaya ke Qatar.

BACA LAGI: 'Piala Asia kot', pemain ke-12 HM tanya mana skrin besar, bengang isu berbangkit sekat 'hype' Qatar

Bola sepak dan muzik itu seiring

Walaupun tampak tiada kaitan, tetapi bola sepak dan muzik itu seiring. Sebagai contoh, setiap kali Piala Dunia diadakan, pasti akan ada lagu tema yang menjadi siulan penduduk bumi.

Sebagai contoh Hips Don't Lie ketika Piala Dunia 2006 dan Waka Waka pada Piala Dunia 2010 masih dianggap sebagai antara lagu semangat terbaik sepanjang zaman. Malah, Piala Asia 2023 turut mempunyai lagu temanya iaitu Hadaf dendangan Humood Al-Kudher dan Fahad Al Hajjaji.

Itu di peringkat kejohanan. Bagi peringkat pasukan, mereka turut mempunyai lagu semangat mereka setiap kali ke kejohanan besar.

Budaya tersebut dapat dilihat oleh pasukan-pasukan United Kingdom seperti England dan Scotland. Scotland misalnya dikenali dengan lagu We're Going To Spain nyanyian The Krankies sempena mereka beraksi di Piala Dunia 1982 di Sepanyol.

England pula mempunyai beberapa lagu semangat yang malar segar seperti World In Motion dendangan New Order sempena Piala Dunia 1990 yang turut menyaksikan pemain The Three Lions, John Barnes membuat kemunculan sebagai penyanyi rap.

Tidak dilupakan, lagu Three Lions (Football's Coming Home) yang menjadi siulan penyokong England yang berharap bola sepak akan kembali kepada mereka tetapi masih belum terjadi.

Selain lagu semangat yang direka khas sempena kejohanan bola sepak, adakalanya pasukan akan mengambil satu-satu lagu sebagai lagu semangat mereka.

Sebagai contoh, penyokong Ireland Utara mengangkat lagu Freed From Desire dendangan Gala yang dikeluarkan pada 1996 sebagai lagu tema mereka pada EURO 2016 bersempena penyerang handalan negara tersebut iaitu Will Grigg.

Penyokong Scotland pula menyanyikan lagu Yes Sir, I Can Boogie oleh Baccara yang dikeluarkan pada tahun 1977 yang didedikasikan kepada pertahanan Andy Considine yang mula-mula membawa lagu itu ke dalam kem pasukan kebangsaannya.

Kenapa waktu Piala Asia tak semeriah Piala AFF?

Jika anda masih ingat, satu negara dilanda 'demam' bola apabila Safee Sali dan rakan-rakan membawa pulang Piala AFF buat kali pertama pada 2010.

Ketika itu, muncul pelbagai lagu semangat yang dikeluarkan bersempena kejayaan Harimau Malaya. Salah satunya adalah lagu Selamanya yang menyaksikan Ultras Malaya bergabung dengan penyanyi rap terkenal Altimet, Joe Flizzow dan Carleel.

Malah, lagu Harimau Malaya dendangan Marionexxes turut mencuri tumpuan pada waktu itu dan kini ia muncul semula kerana tahun ini tiada lagu semangat baharu untuk pasukan Malaysia.

Di mana silapnya? Adakah industri bola sepak dan muzik Malaysia tidak menyatu? Jika dilihat pada rekod lalu ia mustahil kerana kita ada pelbagai lagu berasaskan bola sepak dihasilkan.

Kemeriahannya seakan tiada

Ramai yang kecewa melihat situasi kurang meriah di negara kita mengenai Piala Asia. Siapa yang ikut rapat perkembangan bola sepak negara saja yang terasa bahangnya. Bagi golongan 'lalang' atau bangsa final? Mungkin mereka tak sedar Piala Asia itu wujud.

Jika lagu semangat terhasil, pastinya ia dapat mencipta kesedaran dalam kalangan rakyat yang negara kita akan turun beraksi di kejohanan terbesar selepas Piala Dunia.

Kita tidak minta Dion Cools atau Syihan Hazmi untuk menyanyi rap seperti Barnes lakukan dalam lagu semangat England, tetapi sekurang-kurangnya, biarlah ada lagu semangat yang rasmi bagi memeriahkan suasana.

Kini masa pun semakin singkat, tidak mengapa. Kita siulkan saja lagu Harimau Malaya oleh Marionexxes dengan harapan pasukan kita akan beroleh kejayaan di Qatar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram