Umpan atau tidak, Harimau Malaya jangan terganggu pengaruh luar — Safee Sali


  • Podium
  • Khamis, 11 Jan 2024

Faisal Halim dijadikan poster bersama penyerang Korea Selatan, Heung-min.— Instagram/AFC

KEHANGATAN Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai empat hari lagi semakin dirasai penyakong tanah air dengan rata-rata pemain ke-12 Malaysia tidak sabar untuk menyaksikan sepak mula skuad kebangsaan menentang Jordan pada 16 Januari ini.

Kehadiran Malaysia pada edisi kali ini nampaknya bukan dinantikan oleh peminat sukan tanah air, malah pihak Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) juga menyambut baik kemunculan semula Harimau Malaya selepas kali terakhir beraksi di pentas tertinggi Asia itu pada 2007.

Sambutan luar biasa pihak AFC itu dapat dilihat apabila konfederasi berkenaan sering menggunakan wajah-wajah pemain Harimau Malaya sebagai ‘poster boy’ Piala Asia 2023 kali ini untuk menarik minat para peminat bila sepak global.

Misalnya, wajah penyerang sayap, Faisal Halim baru-baru ini menarik perhatian apabila wajahnya dijadikan poster bersama penyerang handalan Korea Selatan yang sedang mewakili kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur, Son Heung-min.

Selain tonggak Selangor FC berkenaan, pemain muda sedang meningkat Arif Aiman Hanapi dan ketua pasukan Harimau Malaya, Matthew Davies juga menghiasi poster promosi menjelang Piala Asia 2023 di Doha, Qatar, minggu depan.

BACA LAGI: ‘Expert’ ramal Harimau Malaya cuma ada 0.2 peratus peluang julang Piala Asia

WhatsApp Image 2024-01-11 at 13.46.44

Arif Aiman disenaraikan sebagai antara pemain muda tumpuan di Piala Asia 2023. — Instagram/AFC

Insiatif pihak AFC menggunakan wajah-wajah pemain itu membuatkan para penyokong tertanya-tanya sama ada ia disebabkan prestasi semasa skuad kendalian Kim Pan-gon ataupun hanya sebagai umpan untuk menarik ‘netizen’ Malaysia membanjiri media sosial rasmi mereka.

Bagi bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali, tindakan AFC itu bukan hanya semata-mata umpanan tapi sememangnya kerana prestasi cemerlang Harimau Malaya serta beberapa beberapa tonggak.

“Secara jujur Arif Aiman memang berada dalam prestasi yang cemerlang. Dia dicalonkan sebagai pemain muda yang perlu diberi pantauan dan akan menyerlah dałam kejohanan ini. Saya akui benda itu. Perkara ini bukan sebab jabatan netizen Malaysia sahaja tapi sebab prestasi semasa skuad semasa kita.

“Dengan highlight diberikan diharap akan memberikan semangat kepada pasukan kita dan yakin dengan keupayaan diri sendiri. Saya harap mereka pergi jauh. Jangan terganggu dengan sebarang provokasi dari media sosial,” katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Legenda bola sepak negara itu ditemui ketika pelancaran Kad Versi Epik yang menampilkannya dalam permainan video telefon pintar, eFootball di sebuah hotel ibu negara.

BACA LAGI: Patutlah sendu, 'hype' lagu semangat Piala Asia tak sama macam zaman menang Piala AFF

WhatsApp Image 2024-01-11 at 13.44.48

Safee ketika pelancaran Kad Versi Epik yang menampilkannya dalam permainan video telefon pintar, eFootball.

Bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu diberi penghormatan sebagai pemain bola sepak pertama di Malaysia untuk mempunyai Kad Versi Epik dalam permainan e-sukan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Safee juga berpendapat bahawa keputusan Malaysia untuk berada tiga minggu awal di Qatar adalah langkah bijak untuk para pemain menyesuaikan diri dengan suasana dan keadaan cuaca.

“Kita sampai awal di Qatar saya rasa ada kelebihan sebab dah sesuaikan dengan cuaca dan padang sana.

“Hari-hari latihan padang sana, harap ada penambaikan. Perlawanan pertama dengan Jordan kena buat sehabis baik dalam 90 min untuk kumpul point sebanyak mungkin,” jelasnya.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari ini (16 Januari waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram