'Piala Asia kot', pemain ke-12 HM tanya mana skrin besar, bengang isu berbangkit sekat 'hype' Qatar


  • Podium
  • Rabu, 03 Jan 2024

Hari pertama sesi latihan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon di Qatar University pada Selasa.— Facebook/FAM

DEBARAN Piala Asia 2023 kian terasa dengan kurang dua minggu lagi penyokong bola sepak tanah air akan dihidangkan aksi-aksi barisan pemain Harimau Malaya menentang kuasa besar dari negara Asia lain.

Perlawanan yang akan berlangsung di Doha, Qatar itu akan membuka tirainya pada 13 Januari namun tumpuan penyokong domestik pastinya menanti 16 Januari untuk menyaksikan perlawanan pembukaan antara Malaysia menentang Jordan.

Empat hari kemudian, Harimau Malaya akan diuji menentang Bahrain sebelum aksi Kumpulan E akan ditutup dengan perlawanan penting menentang kuasa besar Asia, Korea Selatan pada 25 Januari nanti.

Walaupun sepak mula Piala Asia akan berlangsung tak lama lagi namun masih ada beberapa isu berbangkit melibatkan skuad kebangsaan yang diluahkan oleh para penyokong bola sepak domestik di laman media sosial.

Dari isu pemakaian sehingga ke cara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menguruskan skuad bola sepak negara, terselit luahan dari pemain ke-12 negara yang menyifatkan sambutan kempen Piala Asia seakan-akan tidak digempar-gemparkan oleh beberapa pihak.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, ini tiga isu berbangkit yang diluahkan oleh penyokong bola sepak tanah air;

1) Skrin besar

WhatsApp Image 2024-01-03 at 00.48.23

Sebelum ini KBS pernah melalukan inisiatif skrin besar pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. — Facebook/FAM

Disebabkan kejohanan Piala Asia diadakan di Qatar, ramai penyokong bola sepak tanah air tidak berkesempatan untuk terbang ke negara Timur Tengah itu berikutan memerlukan kos yang tinggi untuk ke sana.

Oleh itu, kebanyakan penyokong tanah air berharap agar pihak Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) menyediakan tayangan skrin besar kepada penyokong untuk memberikan pilihan kepada pengikut bola sepak tanah air.

Malah, rata-ratanya penyokong juga berharap agar premis kedai makanan juga menyambut baik cadangan untuk menayangkan perlawanan Harimau Malaya sebagai tanda sokongan untuk skuad kebangsaan.

"KBS Malaysia, Hannah Yeoh (Menteri KBS), Adam Adli (Timbalan Menteri KBS) tolong ambil peluang untuk buat skrin besar dalam Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) atau Axiata Arena. Sumpah berbayar pun aku sanggup datang," kata penyokong, Che Wan.

"Siapa atau kedai mana ada perancangan nak buat skrin besar untuk Harimau Malaya di Piala Asia nanti. Mohon kongsikan di bawah ini. Boleh kita pakai buat rujukan nak pergi mana nanti," kata seorang lagi penyokong, Nizam Archibald.

Baca Lagi: Aura Harimau Malaya di Qatar sampai ke Brazil, jeneral tengah jadi tumpuan media bahasa asing

2) Isu pakaian

WhatsApp Image 2024-01-03 at 00.48.21

Hoodie berwarna kuning yang dipakai oleh barisan pemain. — Facebook/FAM

Apabila bercakap mengenai kejohanan besar seperti Piala Asia, setiap perincian yang dipamerkan akan menjadi bahan bualan orang ramai kerana barisan pemain dan kakitangan Malaysia akan tampil membawa imej negara.

Justeru itu, tidak hairanlah jika ada penyokong domestik mempersoalkan pemakaian Harimau Malaya yang mengenakan hoodie kuning semasa tiba di Doha berbanding memakai sepasang sut untuk kelihatan lebih segak.

Seperti kejohanan Piala Dunia, kebanyakan pasukan yang bertanding akan tiba dengan aura berbeza apabila semua pemain mengenakan sepasang sut sebagai seragam mereka tiba di kejohanan penting.

"Takkanlah JDT (Johor Darul Takzim) pun pakai proper sut bila perlawanan ACL (Liga Juara-Juara Asia (ACL). Takkanlah untuk skuad kebangsaan tidak boleh buat kot. Ini Piala Asia oi bukan Piala AFF," luah penyokong, Syamellll.

"Zip separuh/hoodie lama/kitar semula. @nikefootball. Mereka tidak dapat pun menyediakan beg untuk pemain pun. Tolonglah bangun FAM," tambah penyokong Piang Shankly yang kurang berpuas hati dengan rekaan baju dari pengeluar rasmi pakaian pasukan kebangsaan, Nike.

Baca Lagi: Endrick dos Santos sanggup terlepas kelahiran cahaya mata demi komitmen bersama Harimau Malaya

3) Tanggapan orang ramai

WhatsApp Image 2024-01-03 at 00.48.20

Malaysia akan menentang Jordan sebagai aksi pembukaan pada 16 Januari. — Facebook/FAM

Lebih menyedihkan apabila masih ada penyokong bola sepak tanah air berfikiran sempit dengan menganggap kempen Piala Asia adalah sekadar kejohanan biasa dan langsung tidak cakna mengenai jadual perlawanan.

Bayangkan sahaja, masih ada yang menyifatkan Piala Asia adalah setaraf dengan kejohanan Piala AFF namun hakikatnya kejohanan di Qatar itu bakal mempamerkan negara Piala Dunia seperti Korea Selatan, Arab Saudi dan Jepun.

"Aku nampak rakyat Malaysia terbahagi kepada dua. Satu yang tak tahu pun kita layak ke Piala Asia. Yang kedua, yakin kita akan layak ke pusingan 16. Bagi aku kita kena sedar yang kita masih lemah dalam kumpulan. Jadi apa pun keputusan di Qatar nanti, aku tetap bangga dengan Harimau Malaya," kata penyokong, MiMestalla.

"AFF juga yang dikejarnya. Ini Piala Asia kot. Media/penyiar rasmi pun kena main peranan. Euro dulu bukan main promosi kaw-kaw. Ini negara sendiri main Piala Asia sunyi krik-krik saja," luah penyokong, qarieazman. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram