Belum boleh 'beat' Corbin, Fazly Mazlan dan Khuzaimi Piee berdepan nasib berbeza


  • Podium
  • Selasa, 02 Jan 2024

Khuzaimi (kiri) dan Fazly merupakan dua pilihan utama skuad Gergasi Merah sebagai bek kiri musim ini. — Facebook/Selangor FC

MUSIM ini, Selangor FC mempamerkan peningkatan berbanding tahun-tahun lalu apabila mereka menamatkan saingan Liga Super sebagai naib juara.

Kedudukan itu diraih dengan skuad Gergasi Merah berada di kedudukan dalam jumlah jaringan terbanyak (72) dan gol dibolosi (22) dengan hanya Johor Darul Takzim (JDT) mencatatkan rekod lebih baik.

Tumpuan pastinya diberikan kepada kualiti pertahanan pasukan yang semakin tersusun sekiranya hendak dibandingkan dengan musim lalu apabila mereka dibolosi sebanyak 33 kali.

Selain taktikal berhasil daripada Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih, kehadiran pemain berkualiti juga menyumbang kepada barisan pertahanan lebih kukuh.

Berdasarkan statistik sepanjang musim, antara nama yang kerap diletakkan dalam kesebelasan utama ialah bek kiri, Fazly Mazlan dengan 20 penampilan direkodkannya.

412467772_857617056370024_8919782909665956510_n

Fazly Mazlan mengukuhkan tempatnya sebagai bek kiri utama skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Kemunculannya yang kerap bersama skuad Gergasi Merah menyaksikan barisan pertahanan pasukan lebih kukuh meskipun terdapat sebahagian penyokong berasakan sebaliknya.

Di samping itu, kepercayaan diberikan Cheng Hoe kepadanya boleh dianggap satu percaturan cukup menarik apabila Selangor FC memiliki dua bek kiri lain berbanding Fazly, iaitu V Ruventhiran dan Khuzaimi Piee.

Perhatian pastinya ditumpukan ke arah Khuzaimi yang hadir dengan reputasi sebagai salah seorang pertahanan tengah terbaik setelah membuktikan kualitinya bersama Negeri Sembilan FC pada 2022.

BACA LAGI: 'Status' anak emas Pan-gon tidak gugat fokus Khuzaimi Piee

Selain bijak membaca permainan, dia juga mempunyai kemahiran tersendiri dalam melakukan hantaran apabila dia beberapa kali diberikan kepercayaan untuk mengambil sepakan percuma bersama skuad Jang.

Bagaimanapun, harapannya untuk meneruskan prestasi cemerlangnya dalam Liga Super bersama Selangor FC terbantut gara-gara kecederaan dialaminya ketika beraksi buat Harimau Malaya dalam Piala AFF awal tahun lalu.

1873651

Khuzaimi terpaksa menggunakan tongkat ketika cedera awal tahun lalu. Facebook/FAM

Isu tersebut turut diceritakan apabila nilai pasaran kedua-dua pemain berkenaan mengalami perubahan tersendiri seperti mana dilihat di laman sesawang transfermarkt.

Berdasarkan kemas kini semasa, Fazly bernilai RM1.1 juta (€225,000) berbanding Khuzaimi yang hanya diletakkan nilai pasaran RM888,000 (€175,000).

Statistik itu sememangnya cukup menarik memandangkan kedua-dua mereka sudah mencecah usia 30 tahun dengan ia merupakan salah satu faktor utama di sebalik nilai seorang pemain.

Fazly pastinya berpuas hati dengan jumlah ditetapkan laman sesawang berkenaan apabila ia adalah satu peningkatan apabila dia hanya bernilai RM380,000 (€75,000) ketika menyertai Selangor FC pada 2022.

Bagi Khuzaimi pula, nilainya ketika ini merupakan satu penurunan ketara memandangkan dia juga pernah menyamai nilai semasa Fazly ketika masih beraksi bersama skuad Jang musim lalu.

414821983_1069143354158900_6652737017811380338_n

Khuzaimi berada dalam senarai 26 pemain untuk saingan Piala Asia 2023. Facebook/FAM

Tetapi, situasi itu tidak menceritakan hal sebenar mereka di peringkat kebangsaan apabila masing-masing mempunyai nasib berbeza bersama pasukan negara.

Khuzaimi yang baru-baru ini diberikan peluang berada dalam senarai 26 pemain ke Piala Asia 2023 pastinya mampu tersenyum apabila kurang meraih minit permainan sepanjang tahun.

Bagaimanapun, kepercayaan masih diberikan pengendali pasukan, Kim Pan-gon setelah pemain kelahiran Melaka terbabit mampu beraksi dalam beberapa posisi pertahanan.

BACA LAGI: Import Filipina dijangka ‘out’, Corbin Ong dapat pesaing lebih hebat rebut posisi bersama bintang Portugal

Meskipun Fazly juga pernah meraih tunjuk ajar daripada jurulatih Korea Selatan berkenaan, lambakan bek kiri menyaksikan dia kehilangan tempatnya dalam skuad kebangsaan.

Kualiti dipamerkan pertahanan JDT, Corbin Ong menyaksikannya sebagai calon utama di posisi tersebut dengan Khuzaimi juga merupakan calon sekiranya penggiliran terpaksa dilakukan.

Untuk rekod, nilai pasaran semasa Corbin bersama JDT ialah kira-kira RM1.5 juta (€300,000). Angka itu walaupun tinggi dilihat sedikit merosot berbanding nilai pasarannya yang pernah mencecah RM1.9 juta (€375,000) pada musim 2021. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram