LIRIDON Krasniqi kini pastinya menjadi tumpuan banyak kelab di Liga Malaysia (Liga M) selepas dia kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas beraksi baik bersama Terengganu FC (TFC) musim ini.
Bersama Terengganu musim ini, Liridon kembali menemui rentak permainannya meskipun banyak bermula sebagai pemain simpanan.
Pemain berusia 31 tahun itu beraksi sebanyak 24 perlawanan dan menjaringkan dua gol dan melakukan dua bantuan jaringan (assist) dalam semua kejohanan domestik dan antarabangsa.
Liridon juga berjaya mencatatkan minit permainan yang tinggi bersama Sang Penyu berbanding bersama pasukan yang diwakilinya sebelum ini.
Sejak dua musim lalu, Liridon dipinjamkan ke luar negara oleh JDT untuk beraksi bersama Newcastle Jets (Australia), Odisha FC (India) dan Khon Kaen United (Thailand).
Namun adakah anda tahu, Liridon pernah mencetuskan kontroversi apabila hampir terlibat dalam insiden pergaduhan bersama rakan sepasukan iaitu Baddrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon semasa di Kedah Darul Aman FC (KDA FC) lima tahun dulu.
Ketika itu, krisis dalaman skuad Kedah menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan terutamanya dalam isu yang melibatkan Liridon.
Menerusi rakaman video itu, kelihatan Liridon Krasniqi melakukan terjahan keras ke atas Syazwan Zainon sehingga menimbulkan pertengkaran antara mereka.
Ia juga memaksa Baddrol Bakhtiar masuk campur dan hampir berlaku pergaduhan antara mereka.
Difahamkan Liridon pada masa itu mempunyai masalah peribadi dengan ketua jurulatih, Nidzam Adzha Yusof dan lebih senang dengan kehadiran pembantu jurulatih skuad itu, Azzmi Ab Aziz.
Ini dapat dilihat apabila Liridon bertindak mencium kaki Azzmi selepas meraikan gol ke atas JDT dalam saingan Piala Malaysia pada 31 Ogos 2018.
Liridon (kiri) ketika mencium kaki Azzmi pada 2018.
Musim depan, Liridon dikaitkan akan menyertai naib juara Liga Super 2023, Selangor FC bagi membantu mereka di pentas Asia.
Perkara tersebut dikongsikan oleh pemerhati bola sepak, T. Avineshwaran dalam satu hantaran di laman X miliknya baru-baru ini.
Jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe juga dikatakan berminat untuk membawa masuk Liridon ke Selangor.
Liridon pernah berada di bawah kendalian Cheng Hoe ketika kedua-duanya di Kedah pada musim 2015 hingga 2017. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram