The Cops berhak bangga dengan pencapaian bukan kecil: Yunus Alif


Oleh M. Azim
  • Podium
  • Selasa, 19 Dis 2023

PDRM FC ketika meraikan kejayaan merangkul trofi Piala Cabaran 2023 pada awal Disember ini. — Facebook/PDRMFC

DI penghujung perlawanan Selangor FC-PDRM FC di Stadium MBPJ Kelana Jaya malam Ahad lalu, ada jenaka di antara kedua-dua jurulatih, Tan Cheng Hoe dan Datuk Yunus Alif, yang mencuit hati.

Sinis atau sekadar ‘menganjing’, ia juga dirasakan kedua-duanya – yang pernah menjadi lawan ketika era masing-masing sebagai pemain, terutama di antara 1988-90 – sebagai suatu bentuk pengiktirafan kepada satu sama lain.

“Tahniah kerana jadi naib juara,” kata Yunus kepada rakan sejawatannya itu sejurus usai kekalahan 1-3 kepada The Red Giants, “Tapi kami menang satu piala musim ini (sedangkan Selangor FC tidak).”

Masih terpinga-pinga, Cheng Hoe segera diingatkan bahawa PDRM FC – pasukan yang tidak diletakkan banyak harapan dalam musim sulungnya dalam Liga Super musim ini – adalah juara Piala Cabaran hasil kemenangan agregat 4-1 ke atas Kuching City FC dalam final secara timbal balik di Stadium Negeri Sarawak pada 3 Disember lalu.

“Oh ya ya, tahniah juga,” jawab ketua jurulatih Selangor FC itu. “Kami tidak pernah menghadapi perlawanan yang mudah menentang PDRM FC,” tambahnya.

The Cops menang final peringkat pertama Piala Cabaran – dikhususkan kepada lapan pasukan yang tersingkir di pusingan 16 Piala Malaysia 2023 secara kalah mati -- 3-0 di Stadium MBPJ pada 29 November dan terikat 1-1 dalam perlawanan timbal balik itu.

WhatsApp Image 2023-12-19 at 16.20.58

Yunus mula mengendalikan PDRM FC selepas Azzmi digugurkan daripada jawatannya pada Jun lepas. — Facebook/PDRMFC

Dalam laluannya ke final, PDRM terlebih dahulu menyingkirkan KL Rovers dengan agregat 5-2 dalam suku akhir, dan agregat 4-1 ke atas Penang FC dalam separuh akhir. Cuma, dengan resminya sebagai satu pertandingan kelas dua, ia tidak banyak mendapat liputan.

Andai disorot, PDRM FC sudah melalui satu perjalanan panjang dan berliku. Malah, kepada sesetengah orang, ia juga menghairankan.

Mencetuskan impak pada awal musim, termasuk kejayaan mengejutkan Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-0 di Alor Setar pada 4 Mac, menundukkan Selangor FC 1-0 pada 3 Jun serta mengecewakan Sabah FC 1-0 pada 8 Jun, Sang Saka Biru mengambil keputusan tidak masuk akal apabila merehatkan ketua jurulatihnya, Azzmi Ab Aziz, bermula 19 Jun dan tugasnya dipangku penolongnya Eddy Gapil.

Tiada pengumuman rasmi dibuat terhadap pemecatan Azzmi dan tidak juga diperjelaskan sama ada bekas ketua jurulatih itu mendapat pampasan sepatutnya.

Di sebalik kontroversi itu, Yunus, yang aktif sebagai pemain bersama Terengganu dan Pahang di antara 1976-1990 berbanding Cheng Hoe di antara 1988-2001, menuntut pengiktirafan bahawa PDRM FC yang dibimbingnya selaku ketua jurulatih bermula 5 Ogos lalu, sudah menyempurnakan satu sasaran.

Meski enggan mengambil sepenuh kredit kerana hanya mengendalikan pasukan untuk lapan hingga sembilan perlawanan, ketua jurulatih berusia 65 tahun itu menganggap kesudahan The Cops di tangga kelapan dengan himpunan 37 mata daripada 26 perlawanan, sangat membanggakan.

WhatsApp Image 2023-12-19 at 16.21.01-2

Fadi Awad (depan) mencetak gol saguhati untuk The Cops dalam aksi terakhir Liga Super. — Facebook/PDRMFC

Sebagai sebuah pasukan yang asalnya menduduki tangga keenam dalam Liga Perdana musim 2022 dan menghadapi kekangan bajet dibandingkan dengan pasukan besar lain, mereka masih berkedudukan lebih baik daripada Negeri Sembilan FC, Penang FC, Perak FC dan Kuching City FC antaranya.

“Pencapaian pasukan sentiasa diukur daripada keputusan dalam Liga Super yang standardnya lebih tinggi daripada Liga Perdana. Apa yang saya dapat katakan mengenai pasukan ini ialah utuhnya perpaduan dalam pasukan untuk separuh kedua musim ini,” kongsinya dengan Bola Pegun.

“Daripada segi skil dan kemampuan pasukan, PDRM FC tidaklah sekuat sesetengah pasukan pencabar. Tapi pemain-pemain menujukkan mereka sanggup bermati-matian untuk satu sama lain.

“Kesudahannya, kedudukan di pertengahan carta liga adalah satu pencapaian. Kami berjaya memenuhi KPI yang ditetapkan pengurusan pasukan pada awal musim dan kejayaan menjulang Piala Cabaran adalah satu bonus,” tambahnya.

Yunus, bagaimanapun, mengakui pencapaian The Cops musim ini menghadirkan cabaran baru pula yang bakal menguji kemampuan mereka untuk mengekalkan pemain sedia ada, apatah lagi untuk melakukan penambahbaikan bagi musim depan.

WhatsApp Image 2023-12-19 at 16.21.01-3

Okwuosa difahamkan sedang diintai oleh beberapa pasukan Liga Super. — Facebook/PDRMFC

Bek tengah sasa berusia 33 tahun dari Nigeria, James Okwuosa, dilaporkan diintai beberapa pasukan lain di samping beberapa bakat tempatan, termasuk penjaga gol muda, Nor Hakeem Hamidun.

“Kami mungkin tidak mampu kekalkan James jika ada pasukan yang menawarkan gaji lebih tinggi. Harapan saya ialah dia akan kekal tapi jika tidak, kami ucapkan selamat berjaya kepadanya,” katanya.

Bercakap mengenai masa depannya sendiri bersama The Cops, Yunus yang kali terakhir membimbing kelab Real Mulia FC dalam senarai kejurulatihan panjangnya yang merangkumi Terengganu, Pahang, Penang, Proton FC, Perlis, T-Team dan PBAPP FC sebelum menggalas tugas bersama PDRM FC, terbuka untuk sebarang lanjutan kontrak.

“Kalau ada tawaran (daripada PDRM FC), saya nak terus sambung,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram