PASUKAN PDRM FC membuat kejutan dengan merehatkan ketua jurulatih skuad itu, Azzmi Aziz yang berkuat kuasa pada Isnin.
Kejutan itu mencetuskan tanda tanya para penyokong bola sepak kerana pasukan Sang Saka Biru itu menampilkan aksi yang cemerlang apabila berjaya menundukkan pasukan gergasi tanah air antaranya Selangor FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sabah FC dengan keputusan yang sama iaitu 1-0.
Terkenal dengan corak permainan 'parking' bas, pasukan PDRM FC nampaknya bakal kehilangan satu peluang apabila melepaskan Azzmi Aziz yang tampil dengan aksi memuaskan ketika bersama kelab tersebut.
Azzmi Aziz ketika dalam satu temu bual bersama Astro Arena.
Menerusi satu temu bual bersama Astro Arena, Azzmi Aziz juga masih tertanya-tanya perkara sebenar yang berlaku terhadap dirinya itu.
"Saya ringkas, jadi saya tak nampak sebenarnya isu dan apa yang puncanya, itu apa yang saya nampaklah," jelasnya dalam rakaman interviu yang dimuat naik oleh Astro Arena.
Bekas pengendali Sang Saka Biru itu turut mengatakan bahawa tidak mengetahui mengenai pemecatan tersebut.
"Dalam surat tersebut, saya perlu direhatkan dan dimaklumkan untuk tidak perlu melatih pasukan itu dan serta-merta saya tidak perlu hadir ke padang," katanya.
Dalam pada itu, Azzmi turut memberitahu perancangannya ketika bersama pasukan PDRM tersebut.
"Kita nak main lebih offensive punya bola sepak, saya personally suka ball possesion, tapi saya tiada kualiti itu dalam team, tapi Alhamdullilah, player saya bagi respons yang sangat baik, so kita terpaksa main more defending, kita improved," konginya.
Sang Saka Biru meraikan kejayaan menumbangkan Selangor menerusi jaringan tunggal Bruno Suzuki. — Facebook/PDRM FC
Di samping itu, The Cops merupakan satu-satunya pasukan yang mampu menyekat pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) daripada berpesta gol selepas hanya sekadar berpuas hati dengan kemenangan 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor pada 19 April.
Mengenai status Azzmi, hanya pihak pengurusan PDRM FC sahaja yang boleh memberikan jawapan mengenai pemecatan mengejut tersebut walaupun Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 15 mata yang ditetapkan berjaya diatasinya.
Susulan pemecatan Azzmi, Eddy Gapil menggalas tanggungjawab sebagai pemangku jurulatih PDRM FC dengan perlawanan pertamanya ialah menentang Perak FC pada 23 Jun ini.
PDRM FC menghuni tempat kelapan dengan mengutip 19 mata dalam carta saingan Liga Super 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram