'Butakan mata pekakkan telinga', Tomi ikut jejak 3 jurulatih tutup mulut 'haters'


  • Podium
  • Selasa, 26 Sep 2023

Tomislav berjaya membuktikan kebolehannya setelah diberikan masa mencukupi daripada pengurusan skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC

AWAL musim lalu, rata-rata penyokong Terengganu FC mendesak agar pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner digantikan akibat prestasi tidak memberangsangkan.

Empat mata daripada lima perlawanan menjadi asbab utama desakan itu dilaungkan memandangkan skuad Sang Penyu muncul sebagai naib juara Liga Super musim lalu.

Pemilihan pemain yang dikatakan kurang sesuai dengan gaya permainan turut memburukkan lagi apabila jurulatih kelahiran Croatia itu didakwa terlalu gemar menggunakan import senegaranya.

Namun, ketika ini, suara-suara sumbang itu berjaya dilenyapkan apabila pasukan Pantai Timur berkenaan muncul sebagai salah sebuah pasukan terbaik Liga Super.

Sejak tewas kepada Johor Darul Takzim (JDT) 9 Jun lalu, Terengganu FC tidak lagi mengalami sebarang kekalahan dalam tujuh perlawanan dengan 14 mata dikutip sepanjang tempoh terbabit.

2004107

Tomislav menyuntik semangat baharu buat skuad Sang Penyu musim ini. Facebook/Terengganu FC

Tidak cukup dengan itu, skuad Sang Penyu turut menampilkan prestasi cemerlang dalam Piala Malaysia apabila mereka kini berjaya memastikan kemaraan ke peringkat separuh akhir.

Kejayaan berkenaan turut dibuktikan di pentas Asia apabila pasukan itu mudah menumpaskan pasukan Australia, Central Coast Mariners dalam aksi pembukaan Piala AFC di laman sendiri.

Pencapaian-pencapaian tersebut sudah cukup untuk mendiamkan desakan orang ramai yang mahu Tomislav digugurkan daripada jawatannya pada awal musim lalu.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 56 tahun terbabit bukanlah pengendali pertama yang berjaya mengubah nasib pasukan Liga Super setelah memulakan karier dengan langkah kiri.

Di samping mampu membawa perubahan ketara di atas padang, jurulatih-jurulatih itu berjaya menyuntik aura berbeza buat kelab tersendiri dengan mencipta hubungan baik antara pemain.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, terdapat tiga pengendali pasukan bola sepak tempatan yang berhasil memberikan nafas baharu seperti mana dilakukan Tomislav:

1. Nafuzi Zain (Terengganu FC)

Ketika ini, Nafuzi Zain merupakan antara pengendali tempatan terbaik dalam Liga Super apabila membawa Kedah Darul Aman (KDA) FC ke kedudukan ketiga liga.

Meskipun tidak mempunyai sebarang kejuaraan bersama skuad Sang Kenari, jurulatih berusia 44 tahun itu berjaya memberi satu gaya permainan menarik buat pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu perjalanan yang mudah dalam karier kejurulatihan Nafuzi apabila dia pernah berdepan tekanan hebat daripada penyokong.

Situasi itu berlaku ketika dia baru sahaja dilantik sebagai pengendali tetap Terengganu FC setelah Irfan Bakti Abu Salim meninggalkan jawatannya pada 2019.

nafuzi-6-e1669088929691

Pemergian Nafuzi cukup dirapati rata-rata penyokong skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Nafuzi yang sebelum itu hanya meraih pengalaman sebagai pembantu jurulatih dan pengendali skuad muda gagal memberikan gaya permainan terbaik buat pasukan Pantai Timur itu.

Tetapi, kesabaran dan ketabahnnya sepanjang beberapa musim akhirnya membuahkan hasil apabila dia mengukuhkan namanya sebagai antara jurulatih tempatan terbaik.

Ia dapat dibuktikan pada musim lalu dengan Terengganu FC muncul sebagai antara pasukan Liga Super terbaik setelah menamatkan saingan di tangga kedua selain muncul dalam perlawanan akhir Piala FA.

Kejayaan itu membolehkan Nafuzi membawa pulang gelaran jurulatih terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022, menewaskan nama-nama besar seperti Tan Cheng Hoe dan Datuk Ong Kim Swee.

2. Yusri Che Lah (Perak FC)

Kehadiran Datuk Lim Teong Kim sebagai pengendali Perak FC awal musim lalu menandakan era baharu buat pasukan itu yang baru sahaja terlibat dalam isu pengurusan.

Manakan tidak, pengalamannya sebagai jurulatih di skuad muda Bayern Munich menjadi satu tarikan buat penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG).

Bagaimanapun, segalanya ibarat tidak kena buat pengendali sensasi itu apabila dia gagal untuk menerapkan falsafah bola sepak dalam kelab Utara tanah air tersebut.

Jadi, situasi berkenaan mendesak pihak pengurusan kelab untuk menggugurkan jawatannya dan digantikan dengan jurulatih berusia 47 tahun, Yusri Che Lah.

1741963

Yusri memulakan jawatannya sebagai pengendali skuad TBG musim ini dengan tekanan yang hebat. Facebook/Perak FC

Keputusan itu pada awalnya menimbulkan pelbagai kesangsian dengan ada penyokong skuad TBG berasakan pelantikannya adalah untuk mengurangkan perbelanjaan.

Lebih memburukkan lagi keadaan adalah apabila Perak FC mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam Liga Super, termasuk tewas kepada PDRM FC.

Namun, situasi itu segera berubah selepas skuad TBG meraih prestasi konsisten, lebih-lebih lagi setelah mereka meraih kemenangan penting dalam Piala Malaysia.

Meskipun skuad TBG masih berada dalam kelompok lima pasukan terbawah Liga Super, perubahan ketara dari segi keharmonian antara pemain boleh dijadikan satu kayu ukur berbeza buat Yusri.

3. Aidil Sharin Sahak (Kedah FA)

Kehilangan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih Kedah FA pada 2017 menyebabkan pasukan terbabit terus bergelut untuk mencari pengganti terbaik buatnya.

Meskipun melantik Azzmi Aziz dan Nidzam Adzha, mereka gagal mengembalikan zaman kegemilangan itu apabila gagal memberi saingan dalam kesemua pertandingan di peringkat domestik.

Jadi, pada 2019, skuad Sang Kenari mengambil keputusan melantik bekas pengendali Home United FC, Aidil Sharin Sahak yang mempunyai reputasi cukup meluas.

Namun, seperti Yusri dan Nafuzi, jurulatih kelahiran Singapura tersebut turut berdepan situasi sama setelah diberi tekanan daripada penyokong.

Kedah coach Aidil Sharin during the press conference at National Stadium in Bukit Jalil yesterday. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. November 1, 2019.

Aidil memiliki satu reputasi cukup baik bersama penyokong Hijau Kuning.

Hal itu berpunca daripada harapan ramai yang kurang yakin dengan kehadiran Aidil memandangkan kebolehannya tidak pernah disaksikan dalam Liga Super.

Tetapi, dia berjaya menidakkan sangkaan itu apabila memberikan Kedah FA kejayaan dalam Piala FA dengan menewaskan Perak FA dalam perlawanan akhir.

Selain itu, skuad Sang Kenari turut melebarkan sayap mereka dalam saingan Piala Malaysia setelah memastikan kemaraan ke final Piala Malaysia, namun tewas kepada JDT dengan keputusan 0-3.

Meskipun musim akhirnya kurang memberangsangkan, nama Aidil semestinya terpahat dalam kalangan penyokong Hijau Kuning yang terus menjulang namanya sehingga hari ini.

Kini, jurulatih berusia 46 tahun tersebut dalam usaha membuktikan kebolehannya sekali lagi apabila dilantik sebagai pengendali Kuching City FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram