SATU lagi musim Liga Super telah berakhir dengan pelbagai cerita suka dan duka terpahat.
Apa yang menarik, musim 2023 sepatutnya menyaksikan liga berjalan menggunakan 16 pasukan namun begitu, pertandingan terpaksa diadakan dengan 14 kelab sahaja.
Sepanjang perjalanan liga, telah terukir pelbagai kenangan indah serta kecemerlangan oleh pelbagai pasukan bertanding.
Sebagai sorotan aksi 2023, Majoriti menyenaraikan lima detik terindah lagi cemerlang terukir dalam Liga Super 2023:
1. Sedekad dominasi penuh kecemerlangan
Musim 2023 menjadi detik terindah dalam sejarah singkat Johor Darul Takzim (JDT) sebagai kelab bola sepak.
Skuad kendalian Esteban Solari berjaya merakamkan kejuaraan kesepuluh berturut-turut sekali gus memahat nama sebagai gergasi bola sepak moden Malaysia.
Sedekad dominasi tersebut dilakukan dengan penuh cemerlang. Harimau Selatan menamatkan saingan liga dengan rekod tanpa kalah apabila menang 25 daripada 26 perlawanan termasuk menjaringkan 100 gol.
Kejayaan tersebut menjadi sebahagian daripada rekod hebat JDT merangkul treble pada musim ini selain memperoleh Piala FA dan Piala Malaysia.
JDT tidak tercabar musim ini dalam Liga Super. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
2. Perebutan sengit ke Asia
Tidak dinafikan, perebutan untuk mara ke Asia menarik perhatian ramai dengan melibatkan tiga pasukan iaitu Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC.
Walaupun pada satu ketika Selangor mempunyai kelebihan selesa di tempat kedua, namun lima kekalahan yang dicatatkan membuka ruang kepada Kedah yang mengekori rapat.
Bagaikan sebuah skrip drama, segalanya ditentukan apabila kedua-dua pasukan bertemu pada aksi kedua terakhir liga. Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Darul Aman, Alor Setar menyaksikan gol tunggal Ayron del Valle mengesahkan tempat Selangor ke Asia.
Pertemuan yang begitu sengit itu dianggap sebagai match of the season kerana drama, ganjaran serta betapa sengitnya persaingan antara kedua-dua kelab.
Selangor sah ke Asia sebagai naib juara Liga Super. — Facebook/Selangor FC
3. Perak bangkit semula
Kisah Perak FC pada musim ini antara cerita yang tidak boleh kita lupakan. Kebangkitan yang dicipta berjaya membuatkan ramai memberikan tabik hormat kepada The Bos Gaurus.
Juara lapan kali Piala Malaysia itu mengharungi perjalanan awal penuh turun naik ketika Datuk Lim Teong Kim mengendalikan pasukan. Namun, segalanya semakin baik apabila Yusri Che Lah mengendalikan pasukan.
Perak mula sikit demi sikit bangun untuk menamatkan musim di kedudukan lebih baik. Daripada bergelut di zon bawahan liga, Yusri berjaya membawa Perak keluar dari zon bahaya dan menduduki tangga kesebelas.
Apa yang mencuri tumpuan adalah perjalanan dalam Piala Malaysia apabila mereka berjaya layak ke separuh akhir sebelum tumpas kepada JDT.
Perak berjaya bangkit hasil kendalian Yusri Che Lah. — Facebook/Perak FC
4. PDRM si pembunuh senyap
Musim ini kita menyaksikan pasukan Lembah Klang, PDRM FC berjaya mencuri tumpuan dengan persembahan mereka di padang.
Bukan sekadar 'menang' di media sosial, Sang Saka Biru turut beraksi hebat ketika perlawanan apabila berjaya melakukan beberapa keputusan mengejut seperti menewaskan Selangor dan Kedah.
Rentak itu banyak dilihat apabila PDRM dilatih oleh Azzmi Aziz, ramai yang menjangkakan mereka akan mula longlai apabila Datuk Yunus Alif menggantikan pengendali tersebut. Namun ia ternyata meleset apabila mereka berjaya menamatkan liga di kedudukan pertengahan iaitu tangga kelapan.
Lebih manis, PDRM berjaya membawa pulang satu piala iaitu Challenge Cup dengan menewaskan Kuching City FC.
Sang Saka Biru mengejutkan beberapa pasukan musim ini. — Facebook/PDRM FC
5. Anak tempatan tampil cemerlang
Saban musim, kita akan menyaksikan penyerang tempatan sering dibayangi oleh bintang import dan itu terserlah di carta penjaring terbanyak.
Namun kali ini kita dapat melihat dua pemain tempatan iaitu Faisal Halim dan Arif Aiman menduduki kelompok teratas carta penjaring terbanyak liga.
Kedua-dua pemain menjaringkan 12 gol untuk membolehkan mereka berkongsi tempat keempat bersama Ifedayo Olusegun (Kedah) dan Kpah Sherman (Sri Pahang FC).
Kecemerlangan Faisal dan Arif nyata memberikan manfaat buat kelab yang diwakili mereka. Diharapkan prestasi tersebut dapat diteruskan ketika di Piala Asia 2023 kelak.
Faisal Halim (kiri) dan Arif Aiman (kanan) adalah penjaring terbanyak tempatan bersama musim ini. — Bernama
Semoga lebih hebat
Tamatlah sudah musim Liga Super untuk kali ini. Buat masa sekarang, tumpuan akan tertumpu kepada Harimau Malaya yang bakal beraksi di Qatar dalam saingan Piala Asia.
Selepas itu, tumpuan dialih ke aksi Harimau Muda di Piala Asia B-23 sambil kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 turut akan diadakan.
Liga Super 2024/2025 hanya akan bermula pada Mei, oleh itu akan banyak cerita perpindahan pemain dan jurulatih akan muncul pada masa tersebut.
Semoga musim baharu kelak akan lebih hebat dari segi kompetitifnya, agar Liga Super akan semakin disegani di rantau kita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram