MALAYSIA akhirnya kembali ke pentas Piala Asia apabila mereka membuat kemunculan pada kejohanan tersebut untuk edisi 2023 di Qatar.
Ramai yang mengatakan Malaysia kembali ke pentas tertinggi benua itu secara merit selepas 43 tahun menyepi. Tetapi, pasti ramai yang ingat Harimau Malaya pernah beraksi di kejohanan sama pada 2007 dengan kelayakan sebagai tuan rumah.
Ketika Piala Asia 2007, Malaysia bersama-sama tiga lagi negara iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam bergabung menjadi tuan rumah kejohanan tersebut. Dan ia adalah satu kejohanan yang pastinya hendak dilupakan oleh ramai penyokong Harimau Malaya.
Hal ini kerana, walaupun berstatus tuan rumah, Malaysia gagal untuk memberikan saingan sengit malah menjadi belasahan setiap pasukan yang ditemui.
Lebih memilukan, skuad kendalian Norizan Bakar ketika itu hanya mampu menjaringkan satu gol daripada tiga perlawanan peringkat kumpulan yang diharungi.
Jaringan tersebut terhasil ketika Malaysia bertemu China pada aksi pertama peringkat kumpulan. Dalam aksi yang menyaksikan Malaysia tumpas 1-5, Indra Putra Mahayuddin menjadi satu-satunya pemain negara yang menjaringkan gol.
Gol tersebut hadir ketika Malaysia sudah ketinggalan empat gol, namun ia terhasil dengan cukup cantik Indra menerima lay-off daripada rakan sepasukan sebelum merembat bola dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol China.
Itu adalah satu-satunya detik manis tercatat daripada kejohanan tersebut kerana pada baki peringkat kumpulan, Malaysia dimalukan Uzbekistan 0-5 dan Iran 0-2 untuk mencatatkan rekod bolos 12 jaringan.
Melangkah ke hari ini, Malaysia dilihat sebagai pasukan yang lebih baik dengan ujian berdepan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan menanti skuad kendalian Kim Pan-gon.
Malah, Indra juga sedang berada di fasa terakhir kariernya dengan bermain Kelantan United FC dan sudah lama tidak terlibat dengan skuad kebangsaan.
Semestinya episod lalu tidak mahu berulang dalam kamus Harimau Malaya, diharapkan bintang-bintang negara generasi sekarang berjaya untuk membuat yang lebih baik berbanding sebelum ini untuk memberikan senyuman kepada para penyokong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram