Bukan perkara baharu, isu rumput sudah 'menghantui' FAM, SNBJ sejak 2014


  • Podium
  • Rabu, 13 Dis 2023

Keadaan rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum aksi final Piala AFF Suzuki 2014.

SEBELUM ini, isu rumput di gelanggang keramat Harimau Malaya heboh diperkatakan selepas tamat perlawanan Malaysia berdepan India dan Tajikistan dalam aksi Kejohanan Pestabola Merdeka 2023.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur itu menerima kritikan ramai mengenai isu rumput tersebut.

Hal ini kerana, padang yang bernilai jutaan ringgit itu kelihatan tercabut atau koyak seawal lima minit sepak mula perlawanan, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kualiti rumput yang digunakan itu.

Malah isu itu sekali lagi berbangkit dalam aksi final Piala Malaysia yang menyaksikan kualiti padang dalam keadaan tidak memuaskan ekoran penganjuran konsert artis luar negara beberapa hari sebelumnya.

Masalah tersebut dianggap bukan isu baharu kerana sembilan tahun yang lalu, kancah bola sepak pernah berdepan isu rumput.

Ketika perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2014 hanya tinggal tujuh hari, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum memutuskan venue pertembungan antara pasukan kebangsaan dan Thailand sama ada dilangsungkan di Stadium Shah Alam, Selangor ataupun Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah dilaporkan berkata, satu lawatan khas akan diadakan di SNBJ oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan wakil FAM untuk menilai keadaan padang untuk dijadikan pentas perlawanan akhir pada 20 Disember lalu.

WhatsApp Image 2023-12-13 at 14.42.35

Rumput baharu SNBJ tercabut ketika Pestabola Merdeka.

Ketika itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan mengesahkan padang SNBJ masih belum bersedia untuk digunakan kerana berada dalam proses pembaikan selepas penanaman semula rumput dengan kos baik pulih keseluruhan RM1.5 juta.

Masalah kualiti padang rumput stadium itu menyebabkan aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2014 antara Malaysia menentang Vietnam minggu lalu turut terpaksa diadakan di Stadium Shah Alam.

Malah tahun sebelumnya, masalah padang SNBJ pernah dipanaskan dengan isu pasukan Barcelona yang enggan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan sekiranya diadakan di gelanggan keramat Harimau Malaya dan lebih memilih Stadium Shah Alam.

Ekoran masalah tersebut, rungutan demi rungutan mengenai kualiti padang stadium itu menyebabkan Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Rozabil Abdul Rahman ketika itu tampil memberi kenyataan bahawa faktor infrastruktur stadium iaitu berbumbung yang menutupi ruang padang dan dibina di bawah paras laut menyebabkan rumput tidak dapat tumbuh dengan baik.

Tambahnya ketika itu, hanya empat jenis rumput sahaja yang sesuai digunakan di stadium tersebut iaitu rumput jenis Bermuda, Zeon Zoysia, Cow Grass dan Paspalum berdasarkan cuaca di Malaysia.

Selepas padang itu digunakan aksi final Piala Malaysia, keadaan rumput Bermuda yang digunakan agak teruk sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram