[VIDEO] Bakal jadi kapten Harimau Malaya dalam Piala Asia, Matthew Davies pernah tak gembira bawah OKS


  • Podium
  • Rabu, 10 Jan 2024

Davies (kiri) ketika menentang Tajikistan dalam perlawanan akhir Piala Pestabola Merdeka pada tahun lalu. — Facebook/FAM

PEMAIN pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Matthew Davies dikhabarkan akan menggalas tanggungjawab selaku kapten Harimau Malaya bersama-sama Dion Cools dalam kempen Piala Asia 2023 yang akan membuka tirai perlawanan pada Sabtu ini.

Bekas kapten pasukan Sri Pahang FC itu sebelum ini telah pun diberi kepercayaan oleh pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon untuk mengetuai skuad Harimau Malaya dalam kempen Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ketika menentang Republik Kyrgyz pada tahun lalu.

Selepas hampir sembilan tahun menyarung jersi skuad utama Harimau Malaya, kini Davies akan membawa cabaran yang lebih besar dengan menggalas harapan rakyat Malaysia untuk melihat pasukan negara beraksi penuh kompetitif menentang gergasi-gergasi Asia.

Bersama JDT musim ini, Davies tampil dalam 29 perlawanan dan berjaya merekodkan satu jaringan serta enam bantuan gol (assist) sekali gus membantu Harimau Selatan menjuarai kesemua trofi dalam Liga Malaysia (Liga M).

BACA LAGI: Bincang status Kelantan minggu depan, MFL pantau Kedah dan KUFC isu pembayaran gaji tertunggak

Matthew Davies

Davies dilantik menjadi kapten Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang Syria baru-baru ini.

Namun adakah anda tahu, semasa pembabitan awal Davies bersama Harimau Malaya dia pernah meluahkan rasa tidak selesa untuk beraksi di posisi pertahanan kiri.

Semasa Piala AFF 2016 pengendali Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee mencuba taktikal baharu apabila menukar posisi Davies ke pertahanan kiri sedangkan dia lebih selesa untuk beraksi di sebelah kanan.

Dengan beberapa perubahan taktikal itu, skuad kebangsaan tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan apabila sekadar berpuas hati di tempat ketiga dibawah Vietnam dan Myanmar pada edisi tersebut.

Menerusi laporan media, Davies membuat pendedahan itu setahun selepas Piala AFF berlalu apabila dia mengakui tidak selesa beraksi di posisi pertahanan kiri.

"Sejujurnya saya tidak selalu beraksi di pertahanan kiri. Tetapi pada masa yang sama, apabila jurulatih meminta anda untuk bermain, itu posisi yang anda akan main.

"Saya lebih selesa untuk bermain di pertahanan kanan, tetapi jika saya perlu beraksi di sebelah kiri saya akan bermain.

"Sudah tentu saya lebih selesa dengan kaki kiri dan berada di posisi pertahanan kanan," kata Davies.

Ketika Kim Swee mengendalikan skuad kebangsaan, beliau lebih gemar menggunakan Rizal Ghazali di sebelah kanan manakala Khair Jones di posisi pertahanan kiri memandangkan Davies ketika itu masih muda.

Kini giliran Davies pula untuk membawa nama Malaysia dalam pentas terbesar Asia selepas pasukan negara akhirnya layak secara merit selepas 42 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram