WALAUPUN tumpuan sedang terarah kepada persiapan Harimau Malaya menjelang sepak mula Piala Asia 2023 di Qatar, bola sepak tempatan tidak pernah sunyi dengan pelbagai cerita.
Buat masa sekarang, cerita menarik yang dapat disaksikan adalah perpindahan pemain dari satu pasukan ke pasukan lain. Antara yang menjadi perhatian adalah Selangor FC yang sedang mendapatkan pemain baharu menjelang musim 2024/2025.
Gergasi Merah dilihat sedang giat mendapatkan pemain baharu untuk menguatkan cabaran di kejohanan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Beberapa nama sedang disebut-disebut untuk dibawa menyertai Gergasi Merah terutamanya melibatkan pemain import seperti Umarbek Eshmurodov yang dikatakan telah sah bersama Selangor.
Declan (tengah) boleh bermain di setiap posisi pertahanan. — The Star
Selain itu, terdapat juga nama-nama seperti Deniz Hummet serta Alvin Fortes yang dikatakan akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Ayron del Valle dan Richmond Boakye.
Dalam masa sama, Selangor turut memburu pemain tempatan bagi menguatkan lagi skuad sedia ada. Mereka kini dikatakan dalam usaha untuk membawa pertahanan kiri Kuala Lumpur City FC (KL City) iaitu Declan Lambert.
Declan yang merupakan salah seorang pasangan kembar Lambert di KL City dilaporkan dalam perjalanan untuk rentas sempadan permusuhan Lembah Klang dan menyertai Selangor pada musim ini.
Dia yang beraksi di pertahanan kiri telah melakukan 27 penampilan dalam kesemua kejohanan dan menghasilkan satu gol serta dua bantuan jaringan.
Kehadiran Declan dijangka akan menguatkan lagi bahagian pertahanan kiri Selangor kerana ia cuma ditunjangi oleh Fazly Mazlan di posisi tersebut.
BACA LAGI: Fans Selangor sambut baik berita pemergian Boakye, dengarnya penyerang Turkiye jadi pengganti
Dengan hadirnya Declan, ia turut memberikan variasi pilihan kepada Tan Cheng Hoe di bahagian pertahanan. Hal ini kerana, Declan boleh beraksi di bahagian pertahanan tengah dan kanan juga.
Berusia 25 tahun, Declan masih mempunyai masa untuk tonjolkan skil dan dilihat boleh menjadi calon utama beraksi di bahagian kiri berbanding Fazly yang semakin berumur.
Akan tetapi, tidak dapat dipastikan sama ada perpindahan tersebut akan diterima baik oleh penyokong kedua-dua pasukan dek kerana permusuhan antara Selangor dan KL City.
Declan mungkin terfikirkan perkara tersebut. Namun, jika tawaran diberikan adalah baik, dia mungkin tidak teragak-agak untuk merentas sempadan dan meninggalkan kembarnya iaitu Ryan di Cheras. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram