[VIDEO] Kerja sentiasa teliti, Hamidin kagum cara Pan-gon 'handle' Harimau Malaya


  • Podium
  • Khamis, 04 Jan 2024

Hamidin (tengah) bercakap dengan Pan-gon (kiri) di Qatar. — Facebook/FAM

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui yang dia sentiasa kagum dengan cara kerja dihasilkan oleh jurulatih kebangsaan iaitu Kim Pan-gon.

Menurut Hamidin, Pan-gon merupakan seorang jurulatih yang begitu teliti dalam kerjanya dan itu menjadikan penyebab kenapa Harimau Malaya begitu ampuh ketika ini.

Bercakap dalam rancangan Bola Itu Life terbitan Astro Arena, Hamidin mendedahkan Pan-gon begitu komited terhadap kerjayanya membimbing Harimau Malaya dan itu boleh dilihat sewaktu kem latihan skuad kebangsaan diadakan.

"Dia kalau dalam kem latihan, dia boleh bekerja selama 24 jam bersama-sama staf kejurulatihannya yang lain. Boleh tanya E. Elavarasan, pukul 3,4 pagi habis. Pagi esok bangun, sambung.

"Selain daripada uruskan latihan, dia dan semua staf teknikal akan duduk sama-sama menganalisis. Kerana pada saya, kekuatan Pan-gon terletak kepada kajiannya terhadap pasukan lawan," kata Hamidin dalam video yang tular di X (Twitter).

BACA LAGI: [VIDEO] Park Hang-seo pernah mahu tebus kontrak untuk latih Harimau Malaya — Hamidin

416210383_1071448430595059_1972485814164505200_n

Barisan staf teknikal Kim Pan-gon yang membantu memastikan kejayaan Malaysia. — Facebook/FAM

Hamidin mengatakan yang Pan-gon mempunyai data yang cukup lengkap mengenai setiap lawan yang diharungi Malaysia terutamanya ketika dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Kata Hamidin, usai Pan-gon mengetahui Malaysia diundi bersama-sama Republik Kyrgyz, Oman dan Chinese Taipei, terus kajian menyeluruh dikeluarkan mengenai kekuatan pihak lawan.

"Bila dia dapat (tahu) je Oman, Kyrgyzstan dan Taiwan diundi dengan kita. Dua hari lepas itu, dia datang kepada saya dan kami berbincang di pejabat.

"Di pejabat, dia tunjukkan dalam televisyen dan ceritakan mengenai pasukan-pasukan ini. Dia boleh beritahu saya yang pemain Oman jersi nombor tiga hanya akan masuk apabila separuh masa kedua contohnya. Dia boleh beritahu saya, setiap lima minit bagaimana pasukan-pasukan ini akan bermain.

"Apa yang saya boleh katakan yang kualiti analisis Pan-gon terhadap pihak lawan cukup kuat," ujar Hamidin.

Boleh dikatakan yang Pan-gon adalah orang yang tepat untuk mengemudi Harimau Malaya di Piala Asia. Harapnya, dengan kualiti analisisnya terhadap pihak lawan, Malaysia dapat menemui ruang dan peluang untuk dimanipulasi ketika berdepan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram