JDT terus 'mendonia', rekod jaringan Bergson atasi Benzema dan Salah


  • Podium
  • Khamis, 04 Jan 2024

Bergson (tengah) antara penyerang paling tajam di dunia pada 2023. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

SAINGAN Liga Super sentiasa dilimpahi dengan pelbagai penyerang import yang begitu cemerlang di depan pintu gol.

Di liga kita terdapat penyerang import yang cukup tajam hinggakan menjadi igauan setiap pertahanan lawan.

Salah satunya adalah pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Bergson da Silva. Penyerang dari Brazil itu terus mengukuhkan namanya sebagai salah seorang legenda kelab tersebut dengan rekod cemerlang pada 2023.

Bergson telah berjaya masuk ke dalam senarai 50 penyerang dengan jaringan terbanyak bagi tahun 2023. Senarai tersebut dikeluarkan oleh pihak International Federation of Football History & Statistics (IFFHS).

Dalam senarai tersebut, Bergson menduduki tangga ke-12 dalam senarai tersebut selepas penyerang Brazil itu menjaringkan 21 gol liga sambil 14 jaringan terhasil dalam piala nasional. Bergson turut menghasilkan empat gol dalam kejohanan kelab antarabangsa iaitu Liga Juara-Juara AFC.

411600849_927064232122887_6183664106066809492_n (1)

Bergson atasi jaringan Benzema dan Salah pada 2023. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Jumlah tersebut menjadikan Bergson menyumbang 39 gol untuk JDT pada 2023 merentasi pelbagai kejohanan dan itu adalah rekod yang cukup baik tidak kira di liga mana sekali pun.

Lebih menarik, rekod jaringan yang dilakukan oleh Bergson itu telah mengatasi beberapa nama pemain serangan handalan dunia termasuklah bintang Liverpool.

BACA LAGI: [VIDEO] Pengaruh Bergshow terlalu kuat, pemain akademi JDT raikan gol dengan gaya ala Bergson

Rekod Bergson itu berjaya mengatasi jaringan penyerang Al-Ittihad, Karim Benzema yang cuma memperoleh 38 gol. Selain itu, Bergson turut menewaskan pemenang Piala Dunia bersama Argentina iaitu Lautaro Martinez dengan 37 gol serta Mohamed Salah yang cuma mencatatkan 36 gol pada tahun lalu.

Rekod teratas dimiliki oleh legenda Portugal iaitu Cristiano Ronaldo apabila dia menghasilkan 54 gol, dua gol mengatasi Kylian Mbappe yang menyumbat 52 jaringan bersama kelab dan negaranya.

Ia merupakan satu pencapaian hebat buat Bergson dan sekali lagi telah membantu JDT 'mendonia' dalam kancah bola sepak antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram