Bukan sekadar simpati, KBS diharap ikut Korea Selatan tangani isu gaji Liga M


  • Podium
  • Khamis, 04 Jan 2024

Pekan juga memberi cadangan agar pihak KBS menjadikan Korea Selatan sebagai penanda aras untuk menguruskan industri bola sepak. — Facebook/KBS

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) baru-baru ini mengesahkan bahawa Kelantan FC gagal memperoleh lesen kebangsaan sehingga menyaksikan pasukan Pantai Timur berkenaan terperosok ke saingan Liga M3.

Meskipun sempat menghantar dokumen diperlukan, semakan pihak luar menyaksikan masih terdapat pemain serta staf kejurulatihan skuad The Red Warriors tidak menerima bayaran seperti mana ditetapkan.

Tetapi, situasi tersebut masih belum cukup untuk memberi pengajaran buat Kelantan FC dengan mereka masih tekad membuat rayuan sebagai ikhtiar terakhir mereka memperolehi lesen kebangsaan.

Senario Kelantan tidak layak beraksi dalam divisyen teratas musim depan susulan gagal menangani masalah gaji juga pernah berlaku kepada Melaka United FC dan Sarawak United FC pada saingan musim 2022.

Kesilapan sama dilakukan pasukan Liga Malaysia (Liga M) itu membuatkan MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) asyik dihidang dengan masalah sama sehingga ada pihak menggesa agar Kementerian Belia Sukan (KBS) melakukan satu inisiatif untuk tanganinya.

Turut memberi pandangan, pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berpendapat bahawa sudah tiba masanya agar pihak KBS turun padang bersama-sama MFL dan FAM bagi memikirkan cara menyelesaikan isu gaji tersebut.

TRW

Masa depan skuad TRW dalam Liga Super sudah dipersoalkan beberapa bulan selepas isu kebajikan timbul pada pertengahan musim. — Facebook/TRW Kelantan FC

"Saya rasa sudah sampai masanya KBS melihat kepada isu-isu sebegini. Tidak boleh membiarkan MFL, FAM atau Persatuan Pemain Bola Sepak Professional Malaysia (PFAM) sahaja menangani isu ini sampai ke FIFA.

"Bila ada isu begini kita juga bukan sekadar simpati tapi empati. Fikirkan apa yang boleh dibantu daripada berterusan. Jika dibiar sudah pasti bola sepak akan dimainkan beberapa pasukan dan kes teraniaya akan terus berlaku.

"KBS kini hanya melihat secara simpati tapi bila sampai empati KBS boleh lakukan sesuatu. Isu ini adalah tanggungjawab semua pihak dan KBS mainkan peranan untuk tangani bersama," katanya kepada Majoriti.

Dalam perkembangan sama, Pekan juga memberi cadangan agar pihak KBS menjadikan Korea Selatan sebagai penanda aras untuk menguruskan industri bola sepak daripada terpalit dengan isu dalaman kelab seperti masalah gaji.

pekan

Pekan berharap agar KBS membantu menyelesaikan masalah gaji kelab. — Facebook

Menurutnya, satu pelan strategik yang mengandungi pemberian insentif kepada kelab Liga M boleh dirangka oleh Menteri KBS, Hannah Yeoh bersama Timbalannya, Adam Adli Abd Halim sebagai inisiatif selesaikan perkara berkenaan.

"Saya rasa KBS perlu fikir pelan strategik untuk bantu setiap pasukan. Macam di Korea Selatan, negara mereka bukan saja membantu memberikan peruntukan untuk perjalanan liga tetapi mereka juga beri pelbagai insentif kepada kelab-kelab untuk memastikan industri berkembang.

"Bukan hanya bercakap mengenai potongan cukai tapi ada kemungkinan kita perlu melihat untuk memberi jumlah geran ataupun dalam bentuk lain bagi membantu kurangkan masalah gaji," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram