Usah peduli isu gaji bola sepak, ada baiknya KBS fokus usaha bangunkan sukan lain


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Dua kelab Kelantan terpalit dengan isu gaji bagi musim Liga Super 2023. — Facebook/MFL

MASALAH gaji tertunggak dalam kalangan kelab bola sepak di Malaysia ibarat barah yang tiada penghujung.

Saban tahun, pasti akan ada saja pasukan yang culas dalam membayar gaji pemain. Bukan saja pemain, malah pegawai serta staf kejurulatihan turut terkesan dengan isu tersebut.

Untuk mengatasi perkara tersebut, penganalisis sukan negara, Datuk Dr Pekan Ramli mengatakan yang Malaysia menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) boleh membantu pasukan-pasukan di Liga Super dengan memberikan bantuan kewangan seperti yang dilakukan oleh Korea Selatan.

"Saya rasa KBS perlu fikir pelan strategik untuk bantu setiap pasukan. Macam di Korea Selatan, negara mereka bukan saja membantu memberikan peruntukan untuk perjalanan liga tetapi mereka juga beri pelbagai insentif kepada kelab-kelab untuk memastikan industri berkembang," kata Pekan kepada Majoriti.

BACA LAGI: Bukan sekadar simpati, KBS diharap ikut Korea Selatan tangani isu gaji Liga M

Namun begitu, untuk berbuat demikian, ia seakan tidak boleh dipraktikkan secara nyata. Majoriti merungkai mengapakah cara Korea Selatan itu tidak sesuai dibuat di Malaysia.

1. Bajet tak besar

Untuk berbuat demikian pastinya memerlukan peruntukkan yang besar supaya ia dilaksanakan dengan jayanya. Malangnya, bajet yang diberikan kepada KBS dalam belanjawan negara lazimnya tidak besar.

Hal ini disebabkan kerajaan lazimnya akan menumpukan kepada perkara lebih mustahak seperti kesihatan dan pendidikan negara.

Dengan bajet terhad, pastinya KBS tidak boleh tumpukan kepada program itu semata-mata terutamanya melibatkan bola sepak. Mereka juga perlu menfokuskan kepada perkara lain seperti pembangunan belia, e-sukan serta sukan-sukan lain.

Jika terlalu tekankan kepada bola sepak, pastinya ia tidak disenangi rakyat kerana pada mereka bola sepak tidak membawa untung dari segi kejayaan di peringkat dunia berbanding sukan basikal trek atau badminton.

Oleh itu, lebih baik KBS tumpukan kepada sukan yang berpotensi membawa kejayaan peringkat dunia dalam perbelanjaan mereka terutamanya bagi acara yang boleh membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik pertama buat negara.

1041486

Basikal trek adalah sukan yang sering membanggakan Malaysia di persada dunia.

2. Industri bola sepak Malaysia tak sebesar Korea Selatan

Bola sepak Malaysia sebenarnya dalam langkah kecil untuk menjadi sebuah industri yang boleh membawa pulangan kepada negara. Namun begitu, ia masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan Korea Selatan.

Liga kita masih lagi dalam proses membangun dan mungkin dalam 5,10 tahun mendatang barulah ia akan mula maju dan disegani di Asia.

Sepatutnya, setiap pasukan yang bertanding harus mampu berdiri sendiri dan bukan menjadikan masalah gaji tertunggak satu acara tahunan di negara kita.

Jika industri bola sepak kita besar dan menguntungkan, mungkin KBS akan terpanggil untuk membantu kerana ia turut menyumbang kepada ekonomi negara. Tetapi jika ia masih bersaiz kecil, untuk apa mereka menghulur tangan?

412178904_380764991012157_5080237106643505794_n

Bola sepak Malaysia belum cukup besar untuk dianggap sebagai industri. — Facebook/MFL

3. MFL harus bertindak

Sepatutnya, setiap pasukan diketuai oleh Malaysian Football League (MFL) haruslah bersatu dalam menaikkan industri bola sepak di negara kita.

Dengan era penswastaan sudah bermula, MFL adalah entiti yang sepatutnya diharapkan untuk membantu semua rakan kongsi jika terdapat masalah dan bukannya mengharapkan bantuan kerajaan terutamanya daripada KBS.

411834136_380170157738307_1216520451996924636_n

Masih jauh perjalanan Malaysia untuk mempunyai industri bola sepak yang maju. — Facebook/MFL

Semuanya perlu diketuai oleh MFL sebagai badan bertanggungjawab memastikan bola sepak Malaysia terus berada dalam peta bola sepak dunia.

Waktu-waktu awal ini mungkin sukar untuk dilakukan kerana terlalu banyak masalah perlu diselesaikan. Namun begitu, jika tindakan proaktif dapat ditonjolkan, MFL boleh memastikan industri bola sepak Malaysia berkembang dengan sihat dan maju. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram