SAINGAN Liga Super yang ditangguhkan memberi masa dan ruang kepada pihak pengurusan kelab untuk menambah baik sistem serta infrastruktur pasukan.
Tumpuan pastinya diberikan ke arah usaha memperbaiki padang latihan kerana majoriti daripada masa pasukan diluangkan di pusat berkenaan berbanding di stadium masing-masing.
Antara pasukan tanah air yang pastinya giat dalam membuat perkara itu adalah Perak FC yang menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-11 musim lalu.
Meskipun tidak berdepan isu padang yang serius, penambahbaikan masih perlu dibuat sekiranya kelab Utara tanah air itu mahu kembali berada di puncak bola sepak tanah air.
Jadi, untuk merealisasikan hasrat berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim pasukan, Bobie Farid Shamsudin hadir satu kursus penjagaan padang yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.
BACA LAGI: Import 'bermasalah', Heberty antara 3 striker 'single & available'
Keadaan semasa padang latihan yang berada di tahap terbaik. — Facebook/TBG Super Fan
Kursus anjuran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu diadakan berserta mesyuarat pengelolaan Liga Malaysia dan taklimat pengurusan stadium dan venue musim depan.
Berdasarkan perkongsian di laman Facebook TBG Super Fan, dia melihat fasiliti milik Johor Darul Ta'zim (JDT) itu cukup mengagumkan sehingga membuatnya terpukau.
"Lawatan seterusnya dibuat ke padang latihan. Apabila tengok fasiliti mereka, rasa macam mahu beraksi di Liga M3. Tak tercapai akal untuk kita miliki benda yang sama," katanya.
Menurut gambar dikongsikan Bobie, beberapa pasukan Liga Super lain turut hadir untuk melihat kaedah terbaik dalam menambah baik reputasi pasukan.
Beberapa wakil pasukan lain hadir untuk menimba ilmu mengenai penjagaan fasiliti. — Facebook/TBG Super Fan
Ketika ini, kemudahan latihan jaguh bola sepak tanah air itu sukar dipertikaikan kerana ia turut meraih pujian cukup tinggi daripada kelab luar negara.
Selain itu, CEO Interim Perak FC tersebut juga sempat melawati padang latihan JDT yang dilengkapi beberapa kemudahan lain, termasuk pusat pemulihan pemain.
"Padang latihan JDT ada dua padang. Satu padang menggunakan rumput Zeon Zoysia dan satu lagi dilengkapi 'cow grass' untuk perlawanan tempat lawan mereka.
"Pusat latihan berbumbung juga ada, pusat rehabilitasi ada, pejabat, gimnasium serta kafe," katanya sambil menyertakan video pendek ketika berada di kawasan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram