BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pegawai, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.
BEKAS ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim, mungkin menolak tawaran penyelesaian bekas majikannya susulan penamatan kontrak yang dirasakannya sebagai suatu ketidakadilan atau menganggap dirinya teraniaya.
Namun, Perak FC tetap mempertahankan bahawa mereka telah berlaku adil kepadanya dengan kepercayaan bahawa bayaran pampasan penamatan kontrak yang ditawarkan adalah memadai dengan khidmat singkatnya.
“Pada saya, tidak ada sebarang pertikaian dengan Teong Kim. Kami telah tawarkannya penyelesaian tapi dia yang menolak.
“Jadi, jika dia mahu mengheret kes ini ke mahkamah, kami akan ke mahkamahlah. Kami berasa kami telah berlaku adil kepadanya,” kongsi Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dengan Bola Pegun.
Pelantikan Teong Kim sebagai pengendali skuad TBG sememangnya mencuri tumpuan. — Facebook/Perak FC
Pada 11 November lalu, dilaporkan Teong Kim akan memanjangkan pertikaian mengenai penamatan kontrak dan tuntutan baki gajinya daripada Perak FC ke Mahkamah Perusahaan.
Peguamnya, Adam Yap Boon Han, dipetik berkata bahawa mereka sedang menanti surat daripada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) Negeri Perak untuk memaklumkan kes di antara Teong Kim dan Perak FC dirujukkan ke Mahkamah Perusahaan dan menyatakan tarikhnya.
“Penyelesaian di luar mahkamah seperti yang diminta JPPM Perak telah gagal dicapai. Jadi, langkah terbaik ialah membawanya ke mahkamah. Pihak kami juga dalam proses menyediakan dokumentasi berkaitan perkara ini,” katanya.
Pada 27 Jun lalu, Teong Kim mengemukakan representasi kepada JPPM Perak mengikut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 berkaitan penamatan kontrak yang salah di samping menuntut Perak FC melunaskan gajinya untuk tempoh 16 bulan yang berbaki dalam kontrak dua tahunnya.
Dia ditamatkan kontrak pada 24 Mei lalu selepas hanya lapan bulan berikutan prestasi Perak FC — yang menampilkan ramai pemin muda dan cetek pengalaman pada awal musim — terumbang-ambing dalam Liga Super 2023.
Adam Yap (kiri) yang mewakili Teong Kim untuk kes pertikaian pembayaran gaji antaranya dengan Perak FC.
Di bawah kendaliannya dalam 12 perlawanan, The Bos Gaurus (TBG) mengalami tujuh kekalahan selain hanya menang dua dan seri tiga perlawanan.
“Kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian berkait jumlah pampasan yang ditawarkan Perak FC. Di pihak Teong Kim, dia sedia menerima pampasan yang dikurangkan daripada tuntutan awalnya tapi jumlah yang ditawarkan adalah terlalu rendah,” kata Adam lagi.
Abdul Azim berkata, pihaknya telah banyak berkompromi dengan Teong Kim sebelum pemecatannya, termasuk menukar petunjuk prestasi utama (KPI) dalam beberapa perlawanan untuk memudahkan keadaan untuknya tetapi itu juga gagal dicapai di sebalik dia bersetuju dengan semua KPI berkenaan.
“Saya secara peribadi sebagai Pengerusi Perak FC telah bertemu dengannya secara empat mata sebanyak tiga kali. Saya jelaskan kepadanya bahawa kami kini adalah sebuah syarikat. Ia tidak sama dengan Perak FA kerana kedudukannya berbeza.
“Saya terangkan bahawa kami (XOX Berhad selaku pemilik Perak FC) ada pemegang saham, kami ada pengurusan dan lembaga pengarah (sebagai syarikat senaraian awam). Biasalah ada banyak persoalan yang berbangkit,” katanya.
Pada masa sama, tambah Abdul Azim, beliau turut berbincang dengan ramai pemain yang rata-rata berasakan cara pengurusan Teong Kim mungkin tidak sesuai untuk Perak FC yang membawa kepada keputusan untuk menamatkan kontraknya selepas lapan bulan daripada keseluruhan 24 bulan.
Yusri hadir dengan karakter berbeza buat skuad TBG selepas pemergian Teong Kim. — Facebook/Perak FC
“Pandangan ini bukan hanya datangnya daripada pemain-pemain tempatan yang sesetengah pihak mungkin berasakan mereka ini manja dan tak boleh terima teguran. Sebaliknya, pemain-pemain import kami juga berasakan yang sama.
“Pada penghujungnya, ia adalah satu pengajaran yang mahal harganya buat kami,” katanya lagi.
Selepas penamatan kontrak Teong Kim, Perak FC menamakan penolong ketua jurulatih, Yusri Che Lah, sebagai pengganti.
Memanfaatkan jendela perpindahan kedua yang dibuka bermula 12 Julai, Perak FC membawa masuk dua import baharu -- pertahanan kebangsaan Filipina, Jesper Nyholm, dan bekas penyerang Melaka United dan Sabah FC dari Serbia, Luka Milunovic.
Kehadiran kedua-duanya menyaksikan Perak FC beransur-ansur meniti peningkatan sehingga layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia serta suatu ketika mengisi tangga kesembilan liga sebelum akhirnya berkesudahan di tangga ke-11.
Abdul Azim turut berpuas hati dengan Yusri yang telah melaksanakan apa yang diharapkan daripadanya di samping berharap dapat memacu skuad Yob ke pertengahan carta liga apabila musim baru bermula Mei depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram