JENDELA perpindahan yang dibuka pertengahan Disember lepas menyaksikan beberapa pasukan Liga Super sudah mengumumkan mereka akan melepaskan pemain dengan peluang permainan terhad.
Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC merupakan antara kelab yang sudah membuat pengumuman dengan beberapa nama boleh dianggap mengejutkan dalam kalangan penyokong mereka.
Kini, giliran Perak FC mengeluarkan senarai pemain yang tidak akan dikekalkan dengan rata-rata daripada mereka merupakan ubi muda dengan kurang minit permainan.
"Jutaan terima kasih diucapkan. Kami amat menghargai kesungguhan anda sepanjang berada bersama-sama di Perak FC. Selamat maju jaya!" tulisnya.
Antara pemain yang dilihat berada dalam poster disertakan ialah penjaga gol muda, T Shaheeshwaran meskipun pemain berkenaan meraih antara minit permainan terbanyak buat skuad The Bos Gaurus (TBG) musim ini.

Khidmat Hafizal tidak lagi ditagih selepas masa depannya bersama skuad TBG semakin pudar. — Facebook/Perak FC
Berdasarkan statistik, pemain dari Johor Darul Takzim (JDT) terbabit diturunkan sebanyak 19 kali dalam kesemua pertandingan dengan 14 daripadanya direkodkan dalam kancah Liga Super.
Namun, kecenderungannya untuk melakukan kesilapan menyebabkannya beberapa kali digugurkan dengan pengendali pasukan, Yusri Che Lah turut memberikan peluang kepada penjaga gol muda, Farhan Majid.
Bekas kapten pasukan, Hafizal Muhammad turut dilihat berada dalam senarai apabila tempatnya dalam kesebelasan utama semakin terhad memasuki penghujung musim.
Pemain yang tiba dari Terengganu FC awal musim lalu itu pernah diberikan peranan ketua pasukan, namun prestasinya yang kurang meyakinkan membuatkannya hanya meraih 15 penampilan secara keseluruhan buat skuad senior TBG.
Selain itu, seorang lagi ubi muda Perak FC, Amirul Husaini Zamri juga ditunjukkan jalan keluar apabila sukar menembusi skuad utama TBG sepanjang tahun.
Baca Lagi: [VIDEO] Kawan sejak 2016, Feroz rupanya jadi abang ipar ubi muda Perak
Pemain berusia 23 tahun itu hanya mencatatkan enam penampilan bersama pasukan senior di samping dia juga pernah diturunkan sebanyak 10 kali dalam saingan Piala MFL.
Dia yang juga merupakan graduan akademi JDT mencuri nama baru-baru ini apabila kakaknya membina rumah tangga bersama bekas rakan sepasukannya yang kini tonggak utama skuad Harimau Selatan, Feroz Baharudin.
Selain Shaheeshwaran dan Amirul Husaini, beberapa pemain lain yang dilepaskan ialah Ikhwan Hafizo, Harith Naem Jaineh dan Aris Asri dengan destinasi masing-masing masih belum diketahui.
Untuk rekod, skuad TBG menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga ke-11, namun masih berjaya mencipta magis tersendiri apabila mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
