'Bukan kejayaan Faiz Subri menang Puskas, tapi JDT penanda aras sebenar', TMJ gambarkan realiti bola sepak negara 8 tahun lepas


  • Podium
  • Selasa, 09 Jan 2024

Faiz Subri mencipta sejarah menjadi pemain Asia pertama memenangi Anugerah Puskas kira-kira lapan tahun lalu.

SALAH satu pencapaian yang sukar dilupakan dalam sejarah bola sepak tanah air sehingga hari ini adalah apabila pemain tengah tempatan, Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas 2016.

Dia yang ketika itu beraksi untuk Penang FA menjaringkan satu gol cantik menerusi sepakan percuma berdepan Pahang FA dengan lencongan daripada tendangan tersebut cukup mengagumkan.

Jadi, dalam usaha merealisasikan impian menjadi pemain pertama beraksi di Asia meraih gelaran tersebut, orang ramai berganding bahu memberikan undian secara atas talian terhadap anak jati Kayu Hitam, Kedah itu.

Usaha berkenaan jelas membuahkan hasil apabila pada Januari 2017, Faiz diberikan Anugerah Puskas setelah meraih hampir 60 peratus undian, menewaskan pencabar terdekat, Marlone daripada Brazil dengan hanya 22 peratus undi.

Pencapaian berkenaan kemudiannya diraikan orang ramai, termasuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak henti memberikan kata-kata pujian terhadapnya.

15940838_756118247884810_1741107059214088942_n

TMJ membuat satu kenyataan apabila segelintir pihak berhasrat melihat ucapan penghargaan diberikan kepada Faiz Subri. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Bagaimanapun, di sebalik ucapan penghargaan itu, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) tampil memberi realiti mengenai situasi sukan tersebut dalam negara.

Dalam satu hantaran di Facebook JOHOR Southern Tigers, dia menegaskan bahawa tiada keperluan untuknya mengangkat Faiz setinggi langit atas pencapaiannya tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak pernah terfikir, Faiz Subri pernah lebih hebat daripada Messi, Neymar

Kata-kata itu diberikan sebagai respons kepada kenyataan bekas Setiausaha Agung yang kini Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengatakan kejayaan berkenaan merupakan penanda aras baharu bola sepak negara.

Jadi, dalam kenyataan dikeluarkan TMJ, beliau berasakan adalah tidak tepat untuk mengangkat Anugerah Puskas itu kerana ia tidak menceritakan keadaan sebenar pada waktu itu.

Selain itu, beliau mengatakan bahawa JDT merupakan penanda aras sebenar bola sepak negara selepas mereka menjulang Piala AFC pada 2015, sekali gus menjadikan mereka pasukan Asia Tenggara pertama melakukannya.

7AF4618B-BAA9-4FFF-82D2-1B349B553397

TMJ dikenali dengan sikap lantang setiap kali berbicara mengenai bola sepak. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Pencapaian terbabit turut menyaksikan nama skuad Harimau Selatan semakin dikenali di mata dunia yang turut dirasai arena bola sepak tanah air secara keseluruhan.

Respons daripada TMJ itu kemudiannya mencetuskan rasa kurang senang daripada peminat bola sepak tanah air yang mahu kata-kata penghargaan terhadap Faiz dibuat secara terbuka.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa ucapan tahniah sudah diberikan terhadap pemain itu selain beberapa penghargaan sudah diberikan terhadapnya di balik tabir.

Sehingga kini, peluang negara untuk menyaksikan seseorang meraih pencapaian berprestij seperti Anugerah Puskas kian sukar kerana terdapatnya saingan lebih hebat.

Tetapi, perkembangan bola sepak masih boleh disaksikan apabila skuad kebangsaan kini berada di tahap terbaik setelah melayakkan diri ke Piala Asia 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram