[VIDEO] Tak pernah terfikir, Faiz Subri pernah lebih hebat daripada Messi, Neymar


  • Podium
  • Jumaat, 01 Dis 2023

Kejayaan membawa pulang Anugerah Puskas 2016 pastinya menjadi detik paling membanggakan buat Faiz Subri. — Agensi

JIKA ditanya peminat bola sepak tanah air, kejayaan paling bermakna dan sukar dilupakan pastinya mengenai kisah kejayaan pemain tengah, Faiz Subri yang meraih Anugerah Puskas 2016.

Dia yang beraksi ketika Penang FA berdepan Pahang FA menjaringkan satu gol cantik menerusi sepakan percuma dengan ramai pihak melabelnya melanggar hukum fizik.

Jaringan berkenaan jelas menerima pujian sehingga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencalonkan namanya untuk anugerah berkenaan.

Ia merupakan kali pertama badan induk bola sepak negara itu berbuat demikian melihat kepada kualiti serta kemampuannya untuk diangkat sebagai gol tercantik sepanjang tahun.

Keputusan tersebut sememangnya tepat apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meletakkan gol Faiz Subri dalam kalangan 10 gol terbaik.

Jaringan Faiz ketika berdepan Pahang FA membolehkannya memenangi Anugerah Puskas 2016.

Bagaimanapun, pemain skuad Harimau Kumbang itu berdepan cabaran hebat dengan pemain legenda, Lionel Messi dan bekas bintang Barcelona, Neymar turut tercalon.

Jadi, dalam usaha menaikkan nama Faiz Subri, pelbagai usaha dibuat FAM dengan kerjasama media tempatan untuk memastikannya membawa pulang anugerah berkenaan.

Selain kerap menceritakannya menerusi siaran radio, beberapa pendekatan lain turut diambil dengan harapan undian orang ramai mampu membolehkannya mencatatkan sejarah tersendiri.

Usaha berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila pada awal Disember 2016, FIFA mengumumkan jaringan Faiz berjaya menembusi kelompok tiga teratas.

Pencapaian tersebut menyaksikan pemain yang kini berusia 36 tahun terbabit dijemput untuk berada dalam malam penganugerahan di Zurich, Switzerland.

95477f23-fba3-4423-9477-4634f321dc77_169

Faiz Subri (kanan) berpeluang berkongsi pentas bersama nama-nama besar dalam dunia bola sepak.

Ia pastinya menjadi satu detik terbaik buat anak jati Ayer Hitam, Kedah itu memandangkan dia berpeluang berada di atas pentas bersama pemain unggul bola sepak, seperti Messi dan Cristiano Ronaldo.

Kejayaan Faiz akhirnya disahkan pada Januari 2017 apabila namanya diumumkan sebagai pemenang Anugerah Puskas 2016 setelah meraih 59.46 peratus undi.

Pencapaian itu sekali gus meletakkannya sebagai pemain Asia pertama mencapai rekod tersebut sebelum pemain Tottenham Hotspur, Son Heung-min mengulanginya pada 2020.

Meskipun Faiz kini difahamkan tidak terikat dengan mana-mana pasukan, namanya pastinya sukar dilupakan penyokong bola sepak, terutamanya dari rantau Asia Tenggara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram