PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu memulakan tahun 2024 dengan langkah cemerlang terutamanya beraksi di laman sendiri.
Bakal menjadi sebahagian daripada wakil negara yang akan menyertai kejohanan Terbuka Malaysia yang bermula pada 9 hingga 14 Januari di Axiata Arena, Bukit Jalil, Zii Jia berharap akan dapat menghentikan badi tersingkir awal terutamanya dalam pertandingan utama.
Pemain perseorangan lelaki terbaik negara itu mengakui tekanan begitu jelas menyelubunginya dan dia sendiri mahu memberikan persembahan lebih baik berbanding edisi terdahulu.
"Tiada siapa yang mahu beraksi buruk terutamanya di laman sendiri, tetapi semuanya terpulang kepada bagaimana saya menguruskan tekanan (beraksi di laman sendiri).
"Saya telah berlatih dengan keras di bawah kendalian jurulatih Wong Tat Meng selama sebulan untuk menghadapi musim ini, harapnya saya dapat terjemahkannya kepada keputusan yang positif," kata Zii Jia.
Zii Jia mahu mara jauh dalam Terbuka Malaysia 2024. — THE STAR/Low Boon Tat
Tahun 2024 menjadi detik penting untuk Zii Jia memenangi semula hati rakyat Malaysia kerana sejak melakukan penampilan pertama di Terbuka Malaysia pada 2019, pemain itu tidak pernah mara jauh sebaliknya sering pulang awal.
Walaupun tidak terlalu memikirkan mengenai rekod lalu, tetapi pemain badminton berasal dari Kedah itu mahu memastikan edisi 2024 menjadi lebih baik buatnya.
"Saya tidak memikirkan mengenai rekod lampau saya di sini, tetapi saya berharap dapat melakukannya lebih baik berbanding sebelum ini," ujar Zii Jia.
BACA LAGI: Zii Jia tolak sertai program RTG, Hannah Yeoh tegaskan tiada paksaan
Zii Jia akan memulakan perjalanan di Terbuka Malaysia dengan menentang pemain China, Lu Guangzu yang menduduki tangga ke-19 dunia.
Mempunyai rekod baik menentang pemain tersebut, Zii Jia dijangka tidak mempunyai masalah untuk melepasi cabaran pemain tersebut dan mara ke pusingan kedua.
Namun cabaran sengit menanti Zii Jia apabila bakal bertemu pemain ranking nombor empat dunia dari Indonesia, Anthony Ginting sekiranya berjaya melepasi cabaran Guangzu. — THE STAR/R. Kirubashini
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram