SUDAH menjadi kebiasaan dalam bola sepak moden, terdapat ramai pemain yang dinaturalisasikan oleh pelbagai negara.
Situasi tersebut berlaku kerana berlakunya perkahwinan melibatkan dua insan yang jauh berbeza keturunannya atau seseorang pemain itu telah beraksi di sesebuah negara dalam satu tempoh tertentu.
Itulah yang berlaku di Malaysia apabila kita juga sudah mempunyai pemain naturalisasi seperti Romel Morales dan Endrick dos Santos. Mereka adalah sebahagian pemain yang telah berada lama dalam kancah bola sepak kita.
Selain Malaysia, musuh tradisi kita, Indonesia juga tidak ketinggalan dalam melakukan perkara sama. Mereka kini telah menaturalisasikan ramai pemain hinggakan skuad Garuda dipenuhi bintang-bintang berstatus berkenaan.
Justin Hubner, Ivar Jenner dan Sandy Walsh antara beberapa nama yang dipanggil oleh Shin Tae-yong untuk menguatkan cabaran Indonesia di Piala Asia 2023.
Walaupun skuad Garuda kini mempunyai beberapa pemain naturalisasi yang boleh meningkatkan kualiti pasukan, tetapi hakikatnya tidak semua penyokong bersetuju dengan pendekatan digunakan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) itu.
Kritikan dan kecaman pastinya muncul dalam kalangan penyokong Garuda yang seolah-olah tidak senang melihat ramai bintang naturalisasi dalam skuad Indonesia sekali gus menutup peluang pemain-pemain berdarah penuh negara itu.
Disebabkan situasi tersebut, terdapat sekumpulan penyokong Indonesia yang menerima idea naturalisasi itu cemburu melihat bagaimana pendukung Harimau Malaya tetap memberikan dorongan walaupun pasukan kini tidak dibarisi 100 peratus anak tempatan.
"Skuad Malaysia ada (juga) pemain naturalisasi tapi penyokong Malaysia 'cool'. Mereka tetap akan sokong skuad kebangsaan. Tak macam penyokong Indonesia, sentiasa mengutuk (skuad Garuda)," kata pemilik akaun bernama Pelangi Di Matamu.
Paulo Josue (kiri) dan Endrick dos Santos (kanan) antara pemain naturalisasi Malaysia. — Facebook/FAM
"Hanya beberapa orang pemain naturalisasi, selebihnya pemain keturunan dan tempatan. Warganet Malaysia juga tidak bersifat perkauman seperti kita dan sering kecoh-kecoh," ujar Muhammad Rizky.
"Itulah bezanya masyarakat yang hendak maju dengan tidak!," komen John Chena pula.
Punca mengapa ada kelompok penyokong Indonesia yang tidak puas hati dengan pemain naturalisasi negara tersebut adalah disebabkan oleh kualiti yang ditonjolkan ketika beraksi.
Pada mereka, ada saja anak tempatan yang lebih berkualiti patut dipanggil ke skuad Indonesia berbanding membuka ruang seluas-luasnya kepada pemain naturalisasi.
"Kerana permainan (Malaysia) itu kompak dan sedap ditonton. Lihatlah permainan Indonesia, hantar bola pun tak betul," kata penyokong bernama Fahri Yahya.
"Saya akui kebelakangan ini, Malaysia semakin baik. Tapi lagi baik kalau bertemu Indonesia. Saya teringin nak lihat sejauh mana bagusnya," komen Zetnol pula.
"(Malaysia) masih ada pemain asli walaupun beberapa orang. Tetapi di Indonesia tercinta ini semuanya naturalisasi. Rakyat Malaysia itu cuma puluhan juta, Indonesia tercinta punya 280 juta manusia. Masakan satu orang pun tak layak (main skuad Garuda)?, soal Ahmad Sabar Pardede yang seolah-olah seperti telah hilang sabar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram