Safawi masuk senarai 20 penggempur paling tajam di Piala Asia, atasi 2 bekas bintang EPL


  • Podium
  • Ahad, 07 Jan 2024

Safawi menjaringkan 20 gol untuk Harimau Malaya setakat ini. — AFF

SEJAK berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2023, tumpuan meluas mula diberikan kepada Malaysia dari segenap sudut.

Sejak kepimpinan Kim Pan-gon mula mengambil alih, Harimau Malaya semakin meningkat naik dengan pelbagai nama muncul sebagai watak penting bola sepak negara.

Saat tumpuan mula terarah kepada Arif Aiman, Faisal Halim dan Dion Cools, Harimau Malaya sebelum ini mempunyai nama yang cukup ampuh setiap kali beraksi.

Pemain itu adalah pemain sayap berkaki kiri iaitu Safawi Rasid dan hingga kini namanya terus mekar dalam kalangan penyudah terbaik di Asia.

Soccer Football - World Cup 2022 Qualifier Second Round Group G and Asian Cup 2023 Qualifier Preliminary Round 2 Group G - Malaysia v Indonesia - Bukit Jalil National Stadium, Kuala Lumpur, Malaysia - November 19, 2019  Malaysia's Muhammad Safawi scores their first goal   REUTERS/Lim Huey Teng

Jaringan Safawi (paling kanan) ketika bertemu Indonesia satu masa dulu antara yang terbaik dihasilkannya. — Agensi

Safawi masih lagi menjadi sebahagian daripada skuad Harimau Malaya yang beraksi di Piala Asia 2023, walaupun bukanlah watak utama tetapi dia kekal menjadi ancaman Jordan, Bahrain dan Korea Selatan apabila beraksi.

Hal ini dapat dibuktikan apabila pemain berasal dari Terengganu itu merupakan sebahagian daripada 20 pemain yang mempunyai jaringan antarabangsa terbanyak dalam kalangan bintang-bintang Piala Asia.

Safawi menduduki tangga ke-17 selepas mencatatkan 20 jaringan antarabangsa sepanjang kariernya. Rekod jaringan tersebut membolehkan Safawi berada di atas dua bekas pemain English Premier League (EPL).

Dua pemain tersebut adalah Takumi Minamino (Jepun) dengan 18 gol di tempat ke-20 dan pemain tengah Iran, Alireza Jahanbakhsh yang menduduki tempat ke-22 dengan 15 jaringan. Sebagai rekod, Minamino pernah beraksi bersama Liverpool sementara Jahanbakhsh merupakan pemain Brighton & Hove Albion sebelum ini.

BACA LAGI: Fans garuda cemburu, pemain ke-12 tetap ‘support’ Harimau Malaya waima berlambak player naturalisasi

Selain Safawi, Faisal juga berjaya memasuki senarai 25 teratas apabila dia berada di belakang Jahanbakhsh pada kedudukan ke-23 dengan 14 gol.

Tempat teratas dirangkul oleh penyerang handalan India iaitu Sunil Chhetri dengan 93 gol. Tempat kedua diisi Ali Makhbout (Emiriah Arab Bersatu) dengan 85 gol dan Sardar Azmoun dari Qatar menghasilkan 49 jaringan untuk menduduki tangga ketiga.

Diharap Safawi dan Faisal serta pemain Malaysia yang lain dapat menambah koleksi jaringan mereka ketika di Piala Asia kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram