PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia kekal dengan keputusannya untuk tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) untuk terus berada di bawah program Road to Gold (RTG).
Dalam satu kenyataan jawatankuasa progam RTG pada Selasa, mereka memaklumkan keputusan tersebut dicapai bersama pasukan Zii Jia yang mewakili atlet berusia 25 tahun itu menerusi pertemuan secara dalam talian.
Menerusi pertemuan tersebut, Zii Jia diwakili jurulatihnya Wong Tat Meng serta Liew Daren dan pengurusnya Lee Zii Yi menerangkan pendirian diambil atlet itu untuk tidak menyertai program tersebut selain tidak lagi memerlukan bantuan bagi merealisasikan prospek pingat di Sukan Olimpik 2024 Paris.
"Namun begitu, pasukan Zii Jia memberi jaminan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan berkaitan.
"Ia seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) menjelang Sukan Olimpik Paris," menurut kenyataan itu.
Hannah Yeoh menegaskan tiada paksaan kepada mana-mana atlet untuk menyertai program RTG.
Pada Oktober lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, Zii Jia yang berada di ranking ke-11 dunia, merupakan satu-satunya atlet yang belum menandatangani perjanjian itu dan diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan komitmen berkenaan.
Tempoh tersebut berakhir hari ini (Selasa).
Sementara itu, Hannah yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa RTG berkata pihaknya, tidak boleh memaksa mana-mana atlet untuk bersetuju bagi menyertai program RTG.
"RTG adalah satu kemudahan yang kita wujudkan untuk membantu memberikan perkhidmatan tambahan untuk atlet yang akan ke Sukan Olimpik Paris 2024. Kita juga nyatakan RTG adalah platform untuk kita nak hapuskan semua birokrasi sebelum ini.
"Namun, saya tidak boleh paksa atlet yang tidak mahu terima ataupun mereka ada fasiliti lain yang mereka ada akses. Itu terpulang kepada atlet masing-masing dan sebab itu, kita sediakan kontrak asas untuk atlet.
"Saya percaya mahu atau tidak, perlu atau tidak perlukan perkhidmatan tambahan daripada RTG adalah keputusan yang perlu dibuat atlet itu sendiri,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Wanita Dalam Sukan ASEAN 2023 pada Selasa. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram