Didakwa ada 'tokong' punca bintang Urawa Reds tolak panggilan Thailand ke Piala Asia


  • Podium
  • Isnin, 08 Jan 2024

Ekanit mengejutkan penyokong skuad Gajah Perang apabila meminta untuk dilepaskan dari mewakili negaranya. — Agensi

PEMAIN tengah Thailand, Ekanit Panya mengejutkan penyokong skuad Gajah Perang apabila meminta dilepaskan dari mewakili negaranya untuk beraksi dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar.

Berdasarkan laporan dari media Thailand, keputusan dibuat oleh pemain berusia 24 tahun itu adalah untuk mengikuti kem pra-musim kelabnya, Urawa Reds yang kini di bawah kendalian jurulatih baharu Per-Mathias Hogmo.

Hogmo baru dipilih untuk menggantikan Maciej Skorza setelah jurulatih itu mengundurkan diri pada penghujung tahun lepas dan nampaknya pengendali itu ingin mencari kekuatan setiap pemainnya bagi mengekalkan takhta juara Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Tindakan pemain tengah kelab gergasi Jepun itu membuatkan pengendali skuad Gajah Perang, Masatada Ishii memanggil pemain sayap Muangthong United, Picha Autra untuk mengisi kehilangan Ekanit.

Isu Ekanit ini semakin dibincangkan oleh penyokong bola sepak skuad Gajah Perang apabila ada satu laporan media mengatakan keputusan pemain itu dipengaruhi oleh individu berpengaruh.

eknait urawa

Ekanit ketika beraksi bersama Urawa Reds. — Agensi

Perkara berkenaan dikongsikan sendiri oleh pengamal media, Ta Lao, yang mana mendakwa ada indvidu berpengaruh memberi arahan kepada Ekanit untuk mengundurkan diri dari pasukan Thailand.

"Pelbagai sumber boleh dipercayai melaporkan bahawa Ekanit Panya telah diarah oleh 'mereka yang berkuasa' untuk menyertai kem pramusim Urawa sepanjang Piala Asia 2023," kata pengamal media berkenaan di laman X.

Berita tersebut sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa ada 'tokong' ataupun individu berkuasa yang turut membuat kekacauan dalam industri bola sepak negara berkenaan.

Isu pemain Thailand tidak menyahut panggilan negara ini pernah dibangkitkan oleh pengendali baharu Ishii ketika ketika mula mengambil alih tugasan ketua jurulatih daripada Mano Polking.

“Di Thailand ada beberapa pemain yang dipanggil dan tidak mahu hadir kerana mahu berehat. Di Jepun, mewakili pasukan kebangsaan adalah satu kebanggaan dan jika mereka cedera sekalipun, mereka masih hadir,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram