PERSAINGAN Piala Asia 2023 di Qatar akan bermula tidak lama lagi dengan 24 pasukan bersedia untuk bertarung tenaga demi merebut kemasyhuran sebagai raja bola sepak benua terbesar dunia.
Setiap negara daripada calon juara hinggalah ke pasukan bukan pilihan membawa pemain terhebat mereka untuk memastikan peluang tertinggi dimiliki untuk mara ke sejauh boleh.
Dengan menghimpunkan barisan bintang, ia membuatkan setiap pasukan hadir dengan skuad yang mahal dari segi nilai pasarannya.
Begitu juga dengan Malaysia, Harimau Malaya membawa 26 pemain dengan keseluruhan skuad bernilai RM34.2 juta menurut laman Transfermarkt.
Nilai tersebut meletakkan Malaysia di kedudukan ke-19 dalam kalangan 24 pasukan. Sebagai rekod, Malaysia mengatasi nilai skuad India di kedudukan ke-20 (RM33.2 juta) serta Vietnam (RM32.2 juta) yang menduduki tempat ke-22.
BACA LAGI: Legenda negara label Faisal, Arif Aiman aset utama Harimau Malaya
Davies antara pemain termahal dimiliki Malaysia. — Facebook/FAM
Namun begitu, Malaysia ditinggalkan oleh rakan serantau seperti Thailand (RM46 juta) di tempat ke-14 dan Indonesia (RM44.3) yang berada di nombor 15.
Di dalam skuad Harimau Malaya, ketua pasukan, Dion Cools merupakan pemain termahal dengan bintang Buriram United dinilaikan pada harga RM3.8 juta.
Mengekori rapat adalah bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman yang dinilaikan pada RM2.8 juta dan Matthew Davies dan Faisal Halim dengan harga RM2 juta.
Pemain-pemain seperti Syihan Hazmi dan Stuart Wilkin dinilaikan pada harga RM1.5 juta. Pemain-pemain seperti Natxo Insa dan Mohamadou Sumareh pula diletakkan pada nilai paling rendah dalam skuad iaitu sebanyak RM500 ribu sahaja.
Dalam carta keseluruhan melibatkan 24 pasukan bertanding, Jepun adalah yang teratas dengan mereka mempunyai nilai skuad sebanyak RM1.6 bilion sambil dibintangi pemain-pemain seperti Kaoru Mitoma, Wataru Endo dan Takehiro Tomiyasu.
Tempat kedua adalah Korea Selatan dengan nilai RM983.4 juta dengan pemain seperti Son Heung-min, Hwang Hee-chan dan Kim Min-jae membintangi skuad tersebut.
Manakala Iran melengkapkan tiga terbaik dengan skuad dibintangi Saman Ghoddos, Sardar Azmoun dan Mehdi Taremi itu dinilaikan pada RM262.8 juta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram