[VIDEO] Legenda Real Madrid mengamuk angkara fans bising semasa bercakap dengan media


  • Podium
  • Ahad, 07 Jan 2024

Ramos meminta penyokong untuk menghormatinya yang sedang ditemu bual media selepas perlawanan.

DALAM saingan La Liga ketika ini, Sevilla dilihat cukup bergelut apabila berada di tangga ke-16 dengan hanya 16 mata dikumpul selepas 19 perlawanan ditempuhi.

Tekanan semakin dirasai setelah mereka baru-baru ini mengalami kekalahan 0-2 kepada Athletic Bilbao dalam pertemuan yang berlangsung di laman sendiri pada Jumaat.

Jadi, untuk menyuarakan rasa kecewa itu, penyokong kelab Sepanyol itu bertindak membuat bising daripada tempat duduk masing-masing selepas perlawanan berakhir.

Bagaimanapun, tindakan tersebut mengakibatkan pertelingkahan dengan kapten pasukan, Sergio Ramos yang ketika itu sedang ditemu bual pihak media di tepi padang.

Bekas pertahanan skuad antarabangsa Sepanyol tersebut pada awalnya kelihatan cuba mengendahkannya, namun memilih untuk mengusir sebahagian penyokong yang dengan sengaja membuat kekacauan.

BACA LAGI: [VIDEO] Liga amatur di Rawang buat hal lagi, gaduh hingga pelangkung kepala pemain guna helmet

"Tolonglah hormati orang lain, saya sedang bercakap di sini. Tolonglah senyap sedikit dan hormatilah orang lain demi lambang ini. Diamlah dan pergilah anda semua," kata bek tengah berusia 37 tahun itu.

Ramos yang merupakan legenda Real Madrid memilih untuk kembali ke Sevilla pada jendela perpindahan musim panas lalu selepas kontraknya bersama Paris Saint-Germain (PSG) tidak disambung.

Meskipun hadir dengan pengalaman cukup berharga, dia masih gagal menyuntik perubahan terhadap pasukan yang juga bergelut di Eropah sehingga tersingkir daripada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Sevilla selepas ini bakal berdepan kelab bawahan Sepanyol, Racing de Ferrol dalam aksi 32 pasukan Copa del Rey dengan kemenangan diharapkan dapat mengubah nasib pasukan.

Dalam saingan La Liga pula, skuad kendalian Quique Sanchez Flores akan berdepan Alaves di tempat sendiri pada 12 Januari dengan kemenangan mampu melonjakkan mereka ke tangga ke-13. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram